Sultan Muhammad V prihatin terhadap masjid, Islam
KOTA BHARU - Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, yang dipilih sebagai
Yang di-Pertuan Agong yang baharu, dilihat begitu prihatin dalam soal
masjid dan agama Islam.
Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik),
Muhammad Hana Pizi Abdullah, berkata baginda sering berada di masjid
termasuk di Masjid Muhammadi yang merupakan masjid negeri.
"Kami warga masjid amat dekat dengan tuanku kerana baginda cukup
prihatin dengan masjid dan agama. Seperti yang diketahui umum, tuanku
seorang sultan yang memang mendekati dan selalu berada di masjid dan
selalu dapat ditemui rakyat," katanya kepada Bernama di sini.
Menurut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed
Danial Syed Ahmad, Sultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan
Agong ke-15 oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) di Istana
Negara, Kuala Lumpur, hari ini.
Pelantikan itu berkuat kuasa 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun, menurut kenyataan itu.
Muhammad Hana Pizi berkata kehadiran baginda di masjid menjadikan tuanku begitu dekat dengan rakyat.
"Tuanku pernah mengimamkan solat hajat di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV
yang disertai ribuan jemaah beberapa tahun lalu," katanya.
"Kami yakin tuanku mampu melaksanakan tugas sebagai Yang di-Pertuan
Agong dengan cemerlang dan membawa negara ke mercu kejayaan sebagaimana
yang telah tuanku lakukan di negeri Kelantan terutama dari segi
asas-asas agama yang diperkukuhkan oleh tuanku," katanya.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa
Mohamed berkata beliau yakin pemilihan Sultan Muhammad V sebagai Yang
di-Pertuan Agong akan menjadi lambang penyatuan kepada seluruh rakyat
Malaysia secara am dan penduduk Kelantan khasnya.
"Kita mendoakan tuanku diberi taufik dan hidayah oleh ALLAH SWT untuk
menegakkan syiar Islam dan melindungi kepentingan Bumiputera serta
seluruh rakyat Malaysia selain mempertahankan Malaysia daripada pelbagai
serangan.
"Kita sedia maklum institusi Yang di-Pertuan Agong ini satu institusi
yang penting untuk menyatupadukan rakyat... kita bersyukur dengan
pemilihan ini dan yakin Tuanku akan dapat menjalankan tugas dengan
sebaik mungkin," kata pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Datuk Abdul Aziz
Derashid berkata beliau mewakili ribuan peneroka di Kesedar merangkumi
Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah dan Machang amat gembira atas
pemilihan Sultan Muhammad V itu.
Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad dalam
satu kenyataan hari ini berkata pelantikan Sultan Muhammad V sebagai
Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa 13 Dis ini untuk tempoh lima
tahun.
Sementara itu, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula dipilih
menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment