Saya tidak terlibat, kata Hanifah Aman
KOTA KINABALU - Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menyangkal dakwaan
bahawa beliau dan bahagian partinya mempunyai kaitan dengan dua pegawai
kanan kerajaan di Sabah yang disiasat kerana didakwa salah guna kuasa.
Dakwaan ini adalah tidak munasabah sama sekali dan palsu.
"Umno Kimanis dan saya tidak terlibat atau terbabit sama sekali dalam
kes yang sedang disiasat," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari
ini.
Anifah, yang juga Ketua Umno Bahagian Kimanis dan Anggota Parlimen
Kimanis berkata, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan
undang-undang sekiranya kenyataan berbaur fitnah itu terus disiarkan.
Beliau juga menasihatkan rakyat supaya biarlah Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan tugasnya dengan adil dan betul tanpa
sebarang campurtangan.
Bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman memuat
naik dalam media sosial bahawa pengarah sebuah agensi kerajaan yang
disiasat oleh SPRM ialah Bendahari Umno Kimanis, Datuk Mohd Rizal
Abdullah alias Raymund Godfrey.
Bagaimanapun, beliau kemudian menarik balik posting itu dan memohon maaf bahawa Bendahari Umno Kimanis itu bukan suspek.
Dua pegawai kanan kerajaan - seorang pengarah dan seorang timbalan
pengarah ialah antara empat suspek yang ditahan SPRM untuk membantu
siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan projek
infrastruktur bernilai RM3.3 bilion.
SPRM merampas wang tunai lebih RM114.5 juta dalam serbuan di pejabat
dan rumah suspek-suspek tersebut yang kini direman sehingga 11 Oktober
untuk membantu siasatan. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment