Perwakilan disaran berbahas ikut garis panduan
KUALA LUMPUR - Para perwakilan khususnya jurucakap perlu berbahas
mengikut garis panduan, tataetika dan ketatasusilaan bagi melontarkan
pandangan mereka sepanjang Persidangan Agung Umno (PAU) berlangsung.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yakin bahawa para
perwakilan akan membangkitkan isu-isu yang menjaga kepentingan Islam dan
Melayu tanpa mengenepikan agama serta kaum lain di negara ini.
"Selain itu, mereka juga mungkin akan bercakap tengang isu-isu
bersandarkan kepada ucapan dasar Presiden parti dan ketua sayap
masing-masing serta usul-usul meliputi soal agama, akademik dan
pendidikan," katanya selepas merasmikan Laman Media PAU 2016 di Pusat
Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Pakar: PAU 2016 bukan medan berpolitik]
Dalam pada itu, Zahid yang juga turut mengambil alih tugas-tugas
Timbalan Presiden Umno memaklumkan bahawa pihaknya percaya PAU 2016 kali
ini akan menyaksikan kelainan dalam perhimpunan sayap-sayap berbanding
sebelum ini.
Beliau berkata, segala sengketa yang berlaku dalam pemilihan parti
sebelum ini perlu diselesaikan dan saf-saf kepimpinan perlu dirapatkan
semula.
"Kita mahu lupakan perbedaan pendapat ini dan harus fokus bagi
menyatupadukan pemikiran dan tindakan untuk menghadapi musuh di luar
sana,"katanya.
Selesai merasmikan Laman Media PAU 2016, Ahmad Zahid yang juga
merupakan Timbalan Perdana Menteri turut berkesempatan untuk
memperkenalkan buku hasil tulisan beliau yang bertajuk "Gendang Perang
PRU: Strategi Kukuhkan Parti".
Difahamkan, buku berkenaan merupakan hasil terbitan Institut Terjemahan
& Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama Media Intelligence Strategy
(MINSTRA).
Buku tersebut memaparkan 10 bab dengan memperincikan 10 masalah utama
dalam Umno yang perlu diselesaikan bagi memastikan pimpinan dan akar
umbi saling bersatu serta bekerjasama.
0 orang berkata:
Post a Comment