Umno, Pas tubuh kerajaan campuran
UMNO dan Pas kemungkinan besar akan berkongsi kuasa
politik dengan menubuhkan kerajaan campuran sekiranya BN terus
mempertahankan pemerintahan pada PRU14.
"MCA, Gerakan, MIC dan lain-lain parti komponen BN akan terus kekal
bersama, tetapi parti-parti ini akan terpinggir dalam arus perdana
politik negara.
Demikian ramalan dibuat bekas Presiden MCA, Tan Sri Chua Soi Lek kepada
Sin Chew Jit Poh ketika mengulas mengenai hubungan yang semakin rapat
antara pemimpin Umno dan Pas sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata, selepas Umno bekerjasama dengan Pas, dasar negara akan
lebih Islamik dan Umno akan terus memperkukuhkan kedudukannya dengan
mengutamakan kepentingan kaum Melayu.
"Umno dan Pas sudah jelas akan terus bekerjasama dan bersatu hati dalam
isu perpaduan umat Islam. Kedua-dua parti ini juga diramalkan akan
bekerjasama dan mencapai kata sepakat dalam pengagihan kerusi dalam PRU.
Mereka akan berkongsi kerusi ataupun mungkin sengaja mencetuskan
pertandingan tiga penjuru di beberapa kawasan.
"Bagaimanapun, Pas tidak mungkin akan menyertai BN memandangkan
penyertaannya ke dalam BN mesti mendapat persetujuan daripada 13 parti
komponen BN terlebih dulu," kata bekas presiden MCA itu lagi.
Menurut beliau, jika Umno dan Pas berganding bahu menghadapi PRU14,
mereka pastinya akan mempunyai laluan mudah untuk menerajui kerajaan
negeri di lima negeri yang mempunyai majoriti pengundi Melayu iaitu
Kelantan, Terengganu, Perlis, Pahang dan Kedah.
"Kelima-lima negeri pula mempunyai 54 kerusi parlimen dan dijangka Umno
serta Pas akan menang 48 hingga 50 kerusi daripadanya. Selain itu, di
Sabah dan Sarawak mempunyai 56 kerusi parlimen.
"Sekiranya Umno dan Pas berjaya memenangi 50 daripada 56 kerusi itu,
ini bermakna semakin mudahlah Umno untuk mengekalkan kuasa dengan
membentuk kerajaan campuran bersama Pas," katanya.
MCA sememangnya parti Cina Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas memimpin negara
selama 22 tahun, beliau sepatutnya telah sedar bahawa MCA sememangnya
adalah sebuah parti dengan kesemua ahlinya terdiri daripada kaum Cina.
Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, sejak
penubuhannya hingga sekarang, MCA adalah parti berasaskan kaum Cina dan
MCA tidak perlu berselindung apa-apa.
"Mahathir seperti cuba mengagung-agungkan DAP dan menghina MCA. Beliau
sepatutnya sedar parti baharu yang disertainya juga adalah sebuah parti
berasaskan satu kaum sahaja?" kata Mei Fun kepada China Press.
Beliau berkata demikian ketika memberikan reaksi terhadap kenyataan
Mahathir yang memuji DAP adalah sebuah parti pelbagai kaum dengan
menggunakan bahasa kebangsaan untuk lagu parti dan semasa konvensyen
berlangsung.
Kata Mei Fun, MCA faham dalam negara yang terdiri daripada pelbagai
kaum, semua rakyat mestilah saling hormat-menghormati antara satu dengan
lain dan MCA bukan sahaja menjaga kepentingan kaum Cina, kaum-kaum lain
juga tidak dipinggirkan.
0 orang berkata:
Post a Comment