‘Saya serah kepada parti buat keputusan’
GEORGETOWN - Adun tunggal Pas, Datuk Mohd Salleh Man menyerahkan kepada
pucuk pimpinan parti itu sama ada masih mahu meletaknya sebagai calon
dalam PRU14 nanti atau sebaliknya.
Mohd Salleh berkata, beliau sudah lama mendengar desas desus kononnya
Pas tidak akan meletaknya sebagai calon dalam PRU 14 nanti.
"(Saya) dengar lama dah. Tetapi bagi saya yang bukan seorang pimpinan parti, saya tak ada komenlah pasal isu itu.
"Saya serah kepada parti lah untuk buat keputusan," katanya kepada media, hari ini.
Mohd Salleh berkata, beliau akan terus berkhidmat sebagai Adun
Permatang Pasir dan berharap Kerajaan Pulau Pinang akan sentiasa
menyokongnya dalam menjalankan tanggungjawab itu.
"Saya harap, kerajaan negeri tidak terlepas pandang dan sentiasa beri perkhidmatan yang baik khususnya di Permatang Pasir.
"Saya akan bertugas seperti biasa dan akan terus berkhidmat sampai habis tempoh," katanya.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Pulau Pinang
akan mengadakan pertemuan dengan Mohd Salleh bagi membincangkan
berhubung kedudukannya dalam pentadbiran negeri ini.
Guan Eng berkata, buat masa ini, beliau tidak akan membuat sebarang
kenyataan berhubung perkara itu sebelum berbincang dengan Salleh Man
namun mengakui hubungan kerajaan negeri dengan Salleh Man masih baik
seperti dahulu.
Isu kedudukan Mohd Salleh menjadi tanda tanya dan mula dipertikaikan
sejak tahun lalu apabila Pas mengisytiharkan sebagai parti pembangkang
di Pulau Pinang selepas Kerajaan Pulau Pinang memecat 300 ahli
Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Komuniti (JKKK) di kalangan ahli
parti itu di Parlimen Kepala Batas.
Terbaharu, kedudukan Salleh Man sekali lagi menjadi tanda tanya selepas
Dewan Ulamak Pas meluluskan usul untuk memutuskan 'tahaluf siyasi' atau
kerjasama politik dengan PKR.
Usul itu diterima tanpa bahas dan akan dirujuk kepada Majlis Syura Ulamak.
1 orang berkata:
Sila hubungi Mbah Karam untuk nomor togel.
Post a Comment