Tiga exco Pas kekal hingga Dun Selangor bubar
SHAH ALAM - Pas Selangor mengekalkan khidmat tiga exconya dalam
pentadbiran Kerajaan Selangor sehingga Dewan Undangan Negeri (Dun)
dibubarkan, walaupun Majlis Syura Ulama parti itu memutuskan untuk
membatalkan hubungan politik dengan PKR.
Pesuruhjaya Pas Selangor yang baharu, Sallehen Mukhyi berkata, khidmat
tiga exco itu perlu dikekalkan kerana ia adalah mandat yang diberi oleh
rakyat pada PRU14.
"Namun, Pas Selangor akur dan menghormati keputusan Majlis Syura Ulama
PAS yang memutuskan hubungan politik Tahaluf Siyasi antara Pas dan PKR
telah terbatal," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tiga exco berkenaan adalah Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang
portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan
Kehidupan Bandar, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang menyandang portfolio
Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan
Teknologi dan Inovasi serta Zaidy Abdul Talib yang menyandang
Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan
Pertanian dan Industri Asas Tani.
Susulan keputusan Majlis Syura Ulama, Sallehen berkata Pas Selangor
tidak akan terlibat dalam sebarang kerjasama dan rundingan politik
dengan PKR sebaliknya mengukuhkan kerjasama dalam Gagasan Sejahtera
khususnya bagi menghadapi PRU akan datang.
"Bagaimanapun, demi menghormati mandat dan kepercayaan rakyat khasnya
dalam PRU13, Pas Selangor akan kekal sebagai sebahagian komponan dalam
kerajaan negeri Selangor sehinggalah tamat penggalnya nanti," katanya.
Sementara itu, ketiga-tiga exco Pas terbabit tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan reaksi mereka.
Kerajaan Selangor dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
yang juga Timbalan Presiden PKR dengan komposisi tiga exco daripada PKR,
tiga DAP dan tiga Pas.
Majlis Syura Ulama Pas hari ini sebulat suara mengambil keputusan untuk
menamatkan Tahaluf Siyasi dengan PKR secara serta merta.
Setiausaha majlis itu Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata
keputusan itu dibuat susulan tindakan PKR melanggar beberapa syarat
kerjasama politik antara kedua-dua parti yang terjalin sejak sekian
lama.
Keputusan majlis berkenaan sememangnya dijangkakan selepas Muktamar Pas
Ke-63 bulan lepas meluluskan usul supaya kerjasama politik antara
kedua-dua parti itu ditamatkan apabila PKR dilihat tidak menghormati Pas
sebagai rakan sekutu mereka. - Bernama
5 orang berkata:
Dasar lebai tak tau malu.
Elaun puluh2 ribu punya pasal. Kalau ulamak suruh berhenti, aku lompat parti.
mantap sekali alasan yang diberi oleh partiku, parti Fas al- Fulusikum
Pas parti lebai2 jual agama mana ada maruah. Duit dan jawatan lebih mulia dari Al Quran dan Hadis.
Ahli pas ja pilih pas sbb parti pas. Org lain pilih sbb PR. Dah putus pandai pulak kata rakyat pilih pas sbb parti pas. Caitttttt..pungkok hang aihhh. Sejak dulu..sblm PR berapa banyak kerusi yg pas menang kat selangor! Alasan nak merembat hasil-mahsul Selangor la tu. Tp yg lebih pelik.. menantu hadi pasaipa terus pegang jawatan dlm GLC Selangor?!! Tak reti malu langsung. Tp yg lebih pelik..pasaipa Azmin takut benar dgn Hadi ni??? PRU14... org yg pelik-pelik ni tlg buang dari Selangor. Itu ja ubat yg baik untuk Selangor
Post a Comment