Sultan Selangor ingatkan speaker tidak memihak
SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan
speaker Dun dan Parlimen agar melaksanakan tugas dengan berkesan dan
efektif selain tidak memihak kepada mana-mana parti politik sama ada
pihak pemerintah dan pembangkang ketika persidangan dewan berlangsung.
Baginda bertitah, ia bertujuan memastikan institusi dewan dapat
berperanan dengan baik dan mematuhi prinsip-prinsip keadilan yang
sebenar.
"Oleh itu, speaker hendaklah memastikan agar ahli-ahli dewan sentiasa
mematuhi dan melaksanakan setiap peraturan dan garis panduan dewan yang
telah ditetapkan," titah baginda ketika merasmikan Persidangan
Speaker-Speaker Parlimen dan Dun Seluruh Malaysia 2017 di sini, hari
ini.
Turut hadir pada persidangan itu ialah Menteri Besar Selangor, Datuk
Seri Mohamed Azmin Ali; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar
Amin Mulia; Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri SA Vigneswaran dan
Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh.
Sultan Sharafuddin bertitah, speaker dewan juga perlu berperanan
mengawal keadaan apabila berlaku pertelingkahan dalam kalangan anggota
dewan ketika sesi persidangan.
"Ahli-ahli Yang Berhormat yang membahaskan sesuatu usul atau
menzahirkan pandangan hendaklah dilakukan secara berhemah dengan
mengikut segala peruntukan yang ditetapkan di dalam Peraturan-Peraturan
Tetap Dewan.
"Beta tidak mahu berlakunya kejadian ahli dewan bercakaran di dalam
dewan dengan melemparkan bahasa-bahasa kesat dan menyakitkan hati tanpa
mengawal emosi mereka," titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah, adab dan tatasusila ketika berbahas juga
penting bagi membuktikan Malaysia mempunyai pemimpin matang dan
berkeperibadian tinggi.
Baginda turut mengingatkan speaker dan anggota dewan supaya mendukung
kedaulatan institusi beraja dan Sistem Raja Berpelembagaan sebagai
sebahagian daripada elemen penting di dalam Parlimen dan Dun.
Baginda bertitah, peranan institusi raja di dalam Dun khususnya, bukan
sekadar sebagai lambang bagi upacara rasmi semata-mata tetapi merangkumi
aspek kuasa dalam meluluskan sesuatu rang undang-undang yang telah
dibahaskan.
"Justeru itu, semua pihak terutama speaker diingatkan agar menghormati
dan akur kepada institusi raja sebagai lambang kekuatan bangsa dan
negara," titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menyarankan dewan supaya
mengurangkan masa persidangan yang melangkaui waktu berehat iaitu
selepas 12 tengah malam.
"Ia kerana kecergasan minda semua pihak termasuk urusetia dewan dan
para pelapor tidak berada pada paras optimum ketika itu," titah baginda.
Sementara itu, Pandikar Amin dalam ucapannya berharap, Pelan
Transformasi Parlimen Malaysia yang diperkenalkan sejak 2008 dapat
dilaksanakan di peringkat Dun bagi menambah baik perjalanan dewan sekali
gus memastikan ia kekal relevan.
"Walaupun ada pihak berkata baik dan buruk cadangan penambahbaikan
pelan itu belum tentu dapat direalisasikan jika tiada kefahamaan antara
Badan Legislatif dan Badan Eksekutif.
"Kita mahu ia terus diperkukuhkan dalam mengangkat martabat institusi
perundangan ke tahap lebih tinggi dan membanggakan sama ada di peringkat
Persekutuan atau negeri," katanya. - Bernama
1 orang berkata:
Speaker kejaan negeri uganda apa cerita? Dengor cerita boleh tahan jugak memihaknya.
Post a Comment