Dyana Sofya tak bercadang keluar DAP
KUALA LUMPUR - Calon DAP bagi pilihan raya Kecil (PRK) Teluk Intan yang
baru berlalu, Dyana Sofya Mohd Daud, menafikan akan meninggalkan parti
DAP ekoran kekalahan beliau.
Dyana Sofya berkata DAP ialah parti pelbagai kaum dan akan terus berada
dalam parti itu untuk meneruskan perjuangan politiknya.
"Saya akan tetap berjuang bersama DAP, tiada cadangan keluar daripada
DAP setakat ini. Jika ada yang menganggap saya kecewa dan akan keluar
(DAP), mereka salah," katanya kepada pemberita ketika waktu rehat
Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-28 di sini hari ini.
Dyana Sofya merupakan seorang daripada peserta persidangan itu.
Semalam, bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Ibrahim, berkata
beliau percaya Dyana Sofya akan meninggalkan parti pembangkang itu.
Tunku Abdul Aziz berkata beliau membuat ramalan itu berdasarkan pengalaman sendiri ketika bersama DAP.
Dyana Sofia, 27, tewas dengan majoriti 238 undi kepada calon Barisan
Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong, 53, pada PRK Teluk Intan Sabtu
lepas. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment