JMM desak Jakim jelas punca pencemaran
SHAH ALAM - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendesak Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan punca pencemaran terhadap dua produk
Cadbury yang dilaporkan mengandungi DNA babi.
Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, penggantungan sijil Halal
terhadap produk Cadbury Coklat Susu dengan Kacang Hazel (nombor kelompok
200813 M01H12) dan Cadbury Coklat Susu dengan Buah Badam (nombor
kelompok 221013 N01RI1) menunjukkan bahawa produk Cadbury berkenaan
telah dicemari DNA babi.
"Jakim telah menggantung sijil pengesahan halal bagi kedua-dua produk
serta-merta untuk pihaknya kenal pasti di mana punca pencemaran DNA babi
dalam produk tersebut.
"Ini bermakna memang jelas dua produk tersebut telah tercemar oleh porcine di dalamnya ketika ujian dibuat ke atas produk itu.
"Ketua Pengarah Jakim gagal menjelaskan punca pencemaran kepada
masyarakat Islam. Kini, mereka jelas keliru dan tertanya-tanya punca
pencemaran tersebut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, JMM turut mendakwa Jakim tidak mempunyai makmal sendiri
dan hanya bergantung kepada makmal Kementerian Kesihatan dan Jabatan
Kimia.
"Ini menunjukkan kelemahan Jakim yang amat ketara (hanya) berpandu kepada makmal luar.
"Jakim seharusnya mempunyai kepakaran serta kemahiran dalam kalangan
profesional Islam kerana melibatkan pemakanan untuk orang Islam di
negara ini," katanya.
Azwanddin juga menyentuh soal Jakim yang dilihat seolah-olah
menyembunyikan pihak yang membocorkan keputusan analisis Kementerian
Kesihatan.
"Difahamkan Jakim telah membuat laporan polis terhadap NGO tetapi gagal
membuat laporan polis terhadap individu yang telah membocorkan maklumat
pencemaran tersebut dan sehingga kini individu tersebut 'disorok'.
"Jakim tidak mendesak Kementerian Kesihatan tentang perkara dedahan
tersebut atau bertindak lebih proaktif dengan menyaman Kementerian
Kesihatan demi menjaga nama baik," katanya.
Semalam Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Noor Hisham
Abdullah memberitahu keputusan analisis itu belum dapat disahkan
pihaknya sebelum didedahkan ekoran telah disebarkan terlebih dahulu oleh
orang dalam.
0 orang berkata:
Post a Comment