Gerakan baharu: Pas tunggu Majlis Syura
SHAH ALAM – Pas akan memutuskan sama ada mahu menyertai atau berkecuali
dalam gerakan baharu untuk menyelamatkan Malaysia selepas Majlis Syura
Ulama (MSU) bermesyuarat dalam masa terdekat.
Setiausahanya, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, pada
masa ini Pas masih belum menyatakan pendirian berhubung penubuhan
gerakan baharu yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad.
“Kita (Pas) belum buat keputusan lagi, perkara ini (bidang kuasa)
Majlis Syura, (akan mesyuarat) bulan Mac ini, dalam masa terdekat, Pas
akan maklum (gerakan baharu) dalam mesyuarat kami nanti,” katanya kepada
Sinar Harian.
Beliau mengulas pendirian Pakatan Harapan semalam menyambut baik hasrat
Mahathir untuk menubuhkan gerakan baharu bersama parti pembangkang dan
semua pihak berkepentingan dalam usaha untuk menyelamatkan Malaysia.
Sebelum itu, Dr Mahathir mengadakan perjumpaan tertutup dengan beberapa
pemimpin Amanah dan PKR di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana,
Putrajaya, Ahad lalu.
Antara yang hadir ialah Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli;
Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud; Ahli Parlimen Parit
Buntar, Datuk Mujahid Yusof Rawa; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan
Tamrin Ghafar.
Ditanya mengenai keperluan Pas untuk menemui Mahathir selepas pimpinan
Amanah dan PKR mengintai peluang bagi menjalinkan kerjasama, Nik
Muhammad Zawawi bagaimanapun berkata pihaknya belum ada keperluan untuk
berbuat demikian.
“Kita tak jumpa lagi (Mahathir), tak apalah, PKR pun belum berbincang dengan Pas lagi hal ini,” katanya lagi.
Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata
satu pertemuan akan diadakan bersama pimpinan Pakatan Harapan, parti
politik lain, badan bukan kerajaan (NGO) serta beberapa individu bagi
membincangkan konsensus tersebut.
1 orang berkata:
Pas tak perlu terikut2 dengan tindak tanduk PH yang mengambil kesempatan atas apa jua isu. Pertama parti2 yg telah established seperti Dap dan PKR tidak sepatutnya menjadi alat dan pengikut kepada mana2 badan yang tertubuh atas kekecewaan individu atau kumpulan seperti yang ingin ditubuhkan oleh Mahathir.Sepatutnya kumpulan Mahathirlah yang berpaut dan bergabung dengan PH bukan sebaliknya. Umum sudah terlalu kenal dengan perangai Mahathir yang licik menggunakan parti dan pertubuhan2 untuk mencapai hasratnya, yang apabila tercapai beliau akan meninggalkan atau cuba memusnahkan sekutunya. Pas telah mengalami dan nyaris terkubur oleh perangai dan sikap buruk Mahathir. Satu soalan kepada PH, 'Sekiranya Mahathir berjaya menurunkan Najub sebagai PM dengan pertolongan dan sokongan PH, adakah kamu fikir Mahathir akan mempelawa kamu bersama2 berkongsi kuasa sedangkan dia akan berkuasa semula melalui proksinya dalam umno?' Jawapannya amat jelas...iaitu jangan mimpi.
Post a Comment