Suasana politik kini ‘menakutkan’
KUALA LUMPUR – Veteran Umno, Tan Sri Abu Zahar Ujang menyifatkan
suasana politik ketika ini berada dalam keadaan ‘menakutkan’ sehingga
boleh menyebabkan perpecahan orang Melayu dan Islam.
Menurut beliau, keadaan itu hanya boleh dipulihkan jika orang Melayu dan Islam kembali dengan semangat bersatu padu.
“Sungguh pun kita (orang Melayu Islam) majoriti dalam negara ini,
tetapi apabila kita berpecah, kita akan jadi minoriti. Jadi apa nasib
anak bangsa pada masa akan datang?
“Saya mendoakan kalau boleh semua pihak, kalau tersilap di pangkal
jalan baliklah ke pangkal jalan, Tak kira siapa. Jangan kerana tak suka
seekor nyamuk kita bakar kelambu, itu tak wajar,” katanya kepada Sinar
Harian.
Abu Zahar yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata, sebagai bangsa
yang penuh adab dan kaya dengan sifat sopan santun, orang Melayu perlu
saling memaafkan dan hormat menghormati antara satu sama lain.
“Saya berharap kita jangan terlalu banyak label melabel dan kutuk mengutuk. Kurangkan perbuatan ini.
“Kita sebagai manusia kena fikirkan masa depan anak bangsa, tak kira
apa parti sekalipun. Saya kenal semua pemimpin, kalau boleh cuba kita
fikir secara mendalam semangat untuk pertahankan nasib negara bangsa
khususnya orang Melayu,” katanya.
Katanya, parti-parti politik juga perlu memberi keutamaan kepada nasib
anak bangsa sebagai perjuangan dan bukan kepentingan diri atau untuk
mengejar jawatan.
“Kita juga ada undang-undang yang mesti dihormati. Sama ada yang masih
pegang jawatan atau yang dah lepas laluinya sebagai pemimpin negara.
“Saya harap sangat semua pihak munasabah diri untuk jamin masa depan negara,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment