Tun M hanya ulangi sejarah lama
KOTA BHARU – Ketua Penerangan BN negeri, Datuk Md Alwi Che Ahmad
mengakui tindakan keluar parti oleh Tun Dr Mahathir Mohamad bukanlah
sesuatu yang baharu.
Katanya, Umno sebelum ini pernah melalui sejarah hampir sama dan
Mahathir hanya mengulangi sejarah tiga Presiden Umno lalu iaitu Datuk
Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn, malah tindakan dua
daripada mereka adalah disebabkan tidak bersetuju dengan Mahathir
sendiri.
“Sejarah sentiasa berulang, hanya watak yang berbeza. Setakat ini, enam
daripada bekas Presiden Umno, hanya dua yang kekal bersama Umno
sehingga ke akhir hayat iaitu Tun Abdul Razak dan Insya-ALLAH, Tun
Abdullah Ahmad Badawi.
“Jadi sikap Tun Mahathir bukanlah sikap yang baharu. Presiden, Datuk
Seri Najib (Tun Razak) perlu mengambil iktibar peristiwa pada zaman Tun
M, ditinggalkan oleh bekas-bekas presiden dan bekas perdana menteri
secara serentak. Jalan terus,” katanya kepada Sinar Harian ketika
diminta mengulas mengenai tindakan Mahathir yang mengumumkan keluar
Umno, kelmarin, selepas mendakwa Umno kini tidak lagi sama seperti
sebelumnya kerana parti itu seolah-olah telah menjadi parti penyokong
untuk Najib.
Md Alwi berkata, Najib perlu menggunakan ilmu Mahathir sebelum ini,
baiki kelemahan kerana pada waktu itu, bukan sahaja kehilangan dua bekas
perdana menteri dan presiden, tetapi juga sebahagian besar ahli Majlis
Tertinggi, menteri Kabinet dan pemimpin-pemimpin akar umbi.
Selain itu katanya, Umno juga mati dan diharamkan, tetapi Alhamdulillah
berkat ketekunan dan kesetiaan ahli di bawah yang sentiasa setia kepada
parti, Umno terus semarak dan obornya bernyala, walaupun kehilangan
negeri Kelantan.
“Oleh yang demikian, saya menyeru ahli Umno untuk merapatkan barisan
dan hadapi cabaran mendatang dengan semarak perjuangan demi rakyat dan
negara. Bila tiba waktu pemilihan, kita sama-sama pilih pemimpin yang
ikhlas, jujur dan bersih rasuah. Kita kenal pemimpin kita.
“Sama seperti Tun Mahathir. Kedua-dua bekas perdana menteri dan
presiden, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein sangat besar jasa mereka.
Tetapi keluar Umno adalah pilihan mereka.
“Sesuatu yang sangat malang untuk Umno, namun kemalangan selalu
berlaku dalam hidup kita. Yang paling penting, kepada kita yang masih
bernyawa ini, apa tindakan yang perlu dilakukan selepas kemalangan
tersebut,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment