Kedudukan Muhyiddin masih belum selamat
SHAH ALAM - Kedudukan Bekas Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin
Yassin belum selamat dan berdepan kemungkinan dipecat daripada Umno.
Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat berkata,
Muhyiddin boleh dipecat sekiranya kegiatan yang dilakukan bekas pemimpin
tertinggi Umno itu, boleh menjejaskan perpaduan dan imej parti.
“Bagaimanapun tindakan memecat Muhyiddin, bergantung kepada keputusan
Lembaga Disiplin Umno. Sebagai ahli Umno sekiranya didapati beliau tidak
menghormati kepimpinan tertinggi dalam Umno, maka mungkin tindakan
disiplin selanjutnya akan diambil.
“Parti terpaksa mengambil tindakan itu kerana ia membabitkan imej
ketegasan parti kepada ahli tanpa mengambil kira jawatan yang disandang
ahlinya,” katanya.
Katanya, apa juga kegiatan Muhyiddin termasuk penyertaan pada himpunan
27 Mac ini, bagi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
melepaskan jawatannya, boleh menyebabkan beliau disingkir dari Umno.
Muhyiddin sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk menghadiri himpunan
anti Najib anjuran bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid
Ibrahim.
“Jika kegiatan itu dilihat menggugat imej parti dengan terus mengkritik
pemimpin sekali gus memberi kesan tidak baik kepada perpaduan dan imej
parti, saya percaya tindakan tegas akan dikenakan terhadap beliau.
“Namun ia bergantung kepada ketegasan dan Lembaga Disiplin parti,” katanya.
26 Februari lalu, Majlis Tertinggi (MT) Umno sebulat suara membuat
keputusan menggantung jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden parti
berkuat kuasa serta merta sehingga pemilihan MT akan datang kerana gagal
menjalankan tugas sebagai timbalan presiden.
Kelmarin, Muhyiddin mengambil keputusan untuk kekal dalam Umno walaupun
spekulasi bertiup kencang bahawa beliau mungkin mengikut jejak langkah
bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang keluar dari Umno buat
kali kedua selepas 2008.
0 orang berkata:
Post a Comment