Tun M keluar parti tidak jejaskan Umno
PUTRAJAYA - Tindakan bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno Tun Dr
Mahathir Mohamad keluar parti itu tidak menjejaskan Umno, kata
Setiausaha Agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
"Tidak. Tiap-tiap bulan ada peningkatan keanggotaan dalam Umno,"
katanya kepada pemberita ketika ditanya sama ada tindakan keluar parti
Dr Mahathir akan memberi kesan atau menjejaskan Umno.
Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian
selepas sesi perjumpaannya bersama 12 Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Menara Seri Wilayah di sini, hari
ini.
Menurutnya beliau belum menerima surat pemakluman keluar parti daripada
Dr Mahathir, yang mengumumkan berbuat demikian semalam.
Dr Mahathir, 90, mengumumkan beliau sekali lagi keluar daripada Umno
selepas pernah berbuat demikian pada 19 Mei 2008 ketika kepimpinan
Perdana Menteri Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi.
Mengulas mengenai sesi perjumpaan itu, Tengku Adnan berkata, satu
bengkel khusus melibatkan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
dan Kementerian Wilayah Persekutuan akan diadakan bagi membincangkan
masalah perumahan di Kuala Lumpur.
Selain itu, isu lumba motosikal secara haram di ibu kota turut dibincangkan pada sesi perjumpaan lebih dua jam itu.
"Saya hendak selesaikan masalah ini daripada akar umbi dan satu caranya
ialah memberi mereka ruang lakukan apa mereka minat. Kita tahu ada
sindiket tertentu memperalatkan 'mat motor' dan menggunakan mereka
melalui perjudian dan pertaruhan haram," katanya.
Sebelum ini, Tengku Adnan mencadangkan supaya litar perlumbaan
motosikal disediakan di kawasan tertentu di ibu negara untuk anak muda
yang minat berlumba.
Mengikut cadangan itu, jalan terbabit akan ditutup kepada laluan kereta
selama beberapa jam bagi memberi pilihan kepada anak muda melakukan
aktiviti perlumbaan secara sah berbanding secara haram seperti sekarang.
- Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment