Hudud: Pas tunggu perkenan Majlis Raja-Raja
KOTA BHARU - Pas masih menunggu perkenan daripada Majlis Raja-Raja
sebelum membentangkan rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta
Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Parlimen
bagi memberi laluan kepada pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan.
Pengerusi Teknikal Jawatankuasa Kanun Jenayah Syariah II Kelantan Datuk
Mohd Amar Nik Abdullah berkata jawatankuasa teknikal bersama negeri dan
Persekutuan berhubung pindaan terhadap akta itu masih belum menerima
persetujuan daripada Sultan-sultan di beberapa negeri.
"Secara umumnya segala pindaan yang dibuat yang melibatkan Mahkamah
Syariah dan undang-undang Islam ini kena dapat perkenan daripada Majlis
Raja-Raja.
"Jadi sekarang ini beberapa (Sultan) negeri belum memberi perkenan pada
usaha ini menyebabkan ia tertangguh dahulu," katanya ketika ditemui
pemberita di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan di JKR10 di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohd Amar dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob
menerima kunjungan hormat Kaunselor Kedutaan Arab Saudi Abdul Rahman
al-Harfi.
Mac tahun lepas, Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan rang
undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang hanya
terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan
kelak di negeri ini. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment