Muhyiddin: Konspirasi jatuhkan Najib tidak wujud
PETALING JAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, konspirasi untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak wujud.
Menurutnya, jika pendakwaan terhadap Najib kerana isu penyaluran dana
RM2.6 bilion itu dianggap konspirasi, ia sebenarnya hanya menguatkan
persepsi bahawa kuasa perdana menteri kini mengatasi undang-undang di
negara ini.
“Kalau pendakwaan ke atas perdana menteri dikatakan satu konspirasi,
bermakna bahawa perdana menteri kita ini tidak boleh didakwa, above the
law, tak boleh didakwa dalam mana-mana undang-undang sekali pun.
Betulkah begitu?
“Adakah bermakna bahawa Perdana Menteri ini ada imuniti dan tak boleh
diambil tindakan kalau dia melakukan apa-apa kesalahan?,” soalnya pada
sidang media di Bukit Damansara di sini, semalam.
Kemunculan Muhyiddin semalam merupakan kali pertama selepas
penggantungannya dari jawatan Timbalan Presiden Umno sekembalinya beliau
ke tanah air, Selasa lalu.
Jumaat minggu lalu, Majlis Tertinggi (MT) Umno sebulat suara memutuskan
penggantungan jawatan Muhyiddin sebagai timbalan presiden parti,
berkuat kuasa serta-merta.
Perkara itu diumumkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan
Tengku Mansor yang berkata, keputusan itu diambil selepas MT Umno
selepas sebulat suara mendapati Muhyiddin gagal menjalankan tugasnya
sebagai timbalan presiden mengikut Fasal 9.8.1 Perlembagaan parti.
Dalam pada itu, Muhyiddin juga berkata, beliau tidak menolak untuk
menyertai perhimpunan 27 Mac ini dan kumpulan menyelamatkan Malaysia
termasuk gerakan baharu oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad dan Pakatan Harapan untuk menyingkirkan dan membawa Najib ke
muka pengadilan.
“Saya nak mengajak rakan-rakan semua baik dalam ataupun luar Umno, bagi
saya ini bukan soal politik, ini isu negara. Kita harus ketepikan
perbezaan fahaman politik, baik apa sekalipun untuk tujuan yang satu.
“Kalau majlis itu tujuannya baik untuk mengumpulkan beberapa pejuang
dalam negara kita untuk menyuarakan bantahan dan tentangan terhadap
kepimpinan (Najib), saya fikir kita sehaluan. Jadi atas dasar itu,
Insya-ALLAH saya akan hadir.
“Saya akan bekerjasama dengan sesiapa saja yang mempunyai pandangan
yang satu dan sama dalam hal negara, bukan tujuan dan berniat jahat,
asalkan tujuannya baik untuk kebaikan negara dan kepentingan rakyat,
asalkan mereka punyai pandangan sama, saya akan bersama mereka,”
jelasnya.
Masih kekal dalam Umno
Dalam pada itu, Muhyiddin juga menegaskan beliau masih kekal dalam Umno
meskipun sudah digantung daripada jawatan nombor dua parti.
Malah, katanya, beliau tidak sesekali gentar dengan amaran Tengku Adnan sekalipun beliau dipecat daripada parti.
“Saya tidak takut dengan ugutan sebegitu, sebab perjuangan saya masih
belum selesai. Saya akan terus bersuara, malah lebih lantang dari dulu.
“Saya mahu cari satu penjelasan supaya rakyat tahu kedudukan sebenarnya, dan kali ini ada kaitan dengan Umno.
Saya tidak mahu Umno terus terpalit skandal, tuduhan-tuduhan yang
menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada Umno sedangkan Umno tidak
begitu dahulu.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut mempersoalkan penggantungannya sebagai
timbalan presiden sedangkan Presiden Umno yang didakwa melakukan
pelbagai kesalahan tidak dihadapkan ke Lembaga Disiplin.
“Kenapa MT Umno berdiam diri? Siapa lebih banyak dosa? Siapa yang
melakukan kesalahan? Saya tak akan berdiam diri dan akan terus
berbicara, menyuarakan perkara yang betul, bukan tohmahan atau tuduhan,
bercakap yang benar,” tegasnya.
Sehubungan itu, Muhyiddin akan menulis surat kepada Jabatan Pendaftar
Pertubuhan (ROS) untuk mendapatkan gambar sebenar berhubung tindakan MT
Umno yang menggantung jawatannya tanpa mengikut prosedur, tidak melalui
Lembaga Disiplin dan amalan bertentangan Perlembagaan Umno dalam masa
terdekat.
“Oleh sebab itu, saya akan menghantar surat kepada ROS mengikut Seksyen
16, Akta Pertubuhan supaya pihak ROS boleh menjelaskan sama ada proses
penggantungan saya dari tugas dan jawatan itu sah di sisi Perlembagaan
dan peraturan atau sebaliknya,” katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment