Pas enggan sertai deklarasi singkir Najib
SHAH ALAM – Pas mengumumkan tidak turut serta dalam majlis
menandatangani deklarasi menuntut penyingkiran Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak yang dijangka diadakan esok.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu
mempunyai pendekatan dan gerakan tersendiri melalui Blok Politik Ketiga
ke arah mengubah kepimpinan negara melalui saluran yang demokrasi dan
berperlembagaan.
“Pas menghargai pelawaan Tun Dr Mahathir (Mohamad) untuk sama-sama
hadir dalam majlis menandatangani deklarasi menuntut penyingkiran
Perdana Menteri,” katanya.
Hari ini, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengesahkan pihaknya
akan mengadakan sidang media dengan bekas Perdana Menteri itu esok
berhubung gerakan mereka menyingkirkan Najib.
Dalam pada itu, menurut Takiyuddin, pihaknya menuntut supaya Parlimen
dibubarkan segera bagi membolehkan pilihanraya umum diadakan dengan
menyerahkan kembali mandat kepada rakyat bagi menggantikan Kerajaan
Pusat hari ini yang terpalit dengan pelbagai skandal dan kelemahan urus
tadbir.
“Selaras dengan itu, Pas mengajak seluruh rakyat untuk bersama Pas dan
Blok Politik Ketiga sebagai alternatif menggantikan kerajaan hari ini ke
arah membina negara Malaysia yang lebih baik, sejahtera dan cemerlang.
“Pas konsisten dengan pendekatan budaya politik matang dan sejahtera
sebagai suatu formula untuk melakukan perubahan total dalam sistem
pemerintahan negara,” katanya.
Katanya, Pas juga akan menghadap Majlis Raja-Raja bagi menyembah
cadangan agar satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi mengadakan
siasatan yang menyeluruh terhadap isu-isu 1MDB, dana politik RM2.6
bilion, skandal SRC International dan isu-isu lain yang berkaitan
sebagaimana yang telah dititahkan oleh persidangan Majlis Raja-Raja
baru-baru ini.
2 orang berkata:
yes...setuju tubuhkan suruhanjaya siasatan diraja.
PAN mana ada percaya pada Majlis Raja2 daa.. yg PAN lebih percaya ialah Majlis Presiden...
Post a Comment