‘Alasan menteri mengecewakan’
SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kecewa dengan kenyataan
balas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
(KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang didakwanya tidak tahu cukai
minyak tersembunyi walaupun harga minyak setiap bulan ditetapkan
mengikut purata harga pasaran bulan sebelum itu
Katanya, beliau menjelaskan isu cukai tersembunyi ini sejak 2014,
apabila penetapan harga minyak dijual kepada pengguna didedah kepada
keputusan politik yang menyebabkan rakyat rugi.
"Isu ini mula-mula timbul Julai 2014 apabila kerajaan tidak menurunkan
harga minyak sedangkan harga minyak mentah sedunia merudum," katanya
dalam kenyataan, semalam.
Katanya, pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang
mengambil kesempatan mengenakan cukai secara senyap kepada rakyat pada
ketika harga minyak mentah merudum dibawa ke Parlimen dan ke pengetahuan
umum sejak 2014.
"Sebagai tindak balas kepada desakan, termasuk ugutan, saya dan sahabat adakan demonstrasi pada 31 Disember 2014," katanya.
Katanya, beliau disaman Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor
kerana kritikan terhadap tindakan Najib hapuskan subsidi minyak.
Katanya, alasan Hamzah beliau tidak tahu kewujudan cukai minyak tak boleh diterima.
"KPDNKK sendiri tahu mereka berdepan timbang tara daripada pihak saya
berkaitan apa-apa keputusan melibatkan harga minyak. Selain kenyataan
media berterusan, saya juga kemuka banyak soalan di Parlimen mengenai
cukai tersembunyi akibat dasar penetapan harga oleh kerajaan.
"Jawapan beliau, harga ditetapkan mengikut harga pasaran purata bulan
lepas bukanlah satu jawapan kerana itu diketahui umum," katanya.
Rafizi, yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, isu yang beliau
timbulkan kini kenapa kerajaan melanggar formula ditetapkan mereka
sendiri apabila kiraan berdasarkan formula (mengikut harga pasaran
purata pada Julai) menunjukkan harga RON95 bagi Ogos 2016 sepatutnya
RM1.65 seliter; bukannya RM1.75 seliter yang ditetapkan KPDNKK.
"Kewujudan harga tambahan 10 sen seliter yang dibayar pengguna sekarang
bersamaan dengan cukai 10 sen seliter yang saya maksudkan sebagai cukai
tersembunyi," katanya.
Katanya, isu ini mudah dan jelas, tetapi bawa kesan yang besar kepada rakyat.
"Jika Hamzah masih belum arif bidang tugas beliau dan perkara teknikal
seperti ini setelah lebih setahun jadi menteri di KPDNKK, beliau wajar
letak jawatan dan serah jawatan itu kepada seorang yang tahu mengenai
perkara-perkara ini.
"Jika beliau tahu, wajar beliau terbit jadual kiraan harga bulanan ikut
formula sejak sistem apungan harga diperkenal agar rakyat boleh
diyakinkan mereka tidak dicukai secara senyap," katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment