Tun M: Rakyat berserah Majlis Raja-Raja
MESYUARAT Majlis Raja-Raja yang ke–242 bakal bersidang
selama dua hari bermula Rabu ini. Persidangan akan dimulakan hari ini
yang melibatkan Perjumpaan Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri
sempena mesyuarat tersebut. Esok, majlis Pre-Council sempena Mesyuarat
Majlis Raja-Raja itu akan mengambil tempat bagi mengenal pasti
agenda-agenda yang bakal diperbincangkan pada dua hari berlangsungnya
Mesyuarat Majlis Raja-Raja tersebut.
Ia akan disusuli dengan Mesyuarat Khas pada Jumaat yang bakal
memutuskan pengganti Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang
ke-14, Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam
Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Bekas pemimpin negara, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu lepas telah
merayu kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang bakal bersidang supaya
mengambil tindakan yang sepatutnya terhadap salah laku yang dikaitkan
dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam pengumuman kempen #RakyatBerserah itu, Mahathir memberitahu
beliau telah menghantar surat rayuan berserta tandatangan 1.2 juta
rakyat Malaysia mengenai desakan tersebut kepada Sultan-Sultan, Yamtuan
Besar termasuk gabenor-gabenor yang mewakili 13 negeri di Malaysia.
Mahathir juga menyatakan kesediaan beliau menghadapi mesyuarat itu
sekiranya beliau dipanggil untuk menjelaskan secara terperinci mengenai
surat rayuan beliau.
“Saya percaya bahawa Raja-Raja akan mempertimbangkan (rayuan kami).
Jika mereka ingin saya hadirkan diri untuk penjelasan, saya perlu pergi.
Saya perlu taat kepada mereka kerana saya adalah rakyat kepada
Raja-Raja,” katanya pada sidang media kempen tersebut di Yayasan
Kepimpinan Perdana di Putrajaya.
Setakat ini, terdapat dua kenyataan Raja-Raja Melayu yang dilihat
mencalar kredibiliti pentadbiran Najib. Yang pertama, adalah pada 7
Oktober tahun lepas mengenai krisis kredibiliti Kerajaan Malaysia
terhadap isu 1MDB dan salah-laku kewangan yang melingkarinya.
Yang kedua, Majlis Raja pada 17 Februari lepas mengembalikan Rang
Undang-Undang (RUU) Akta Majlis Keselamatan Negara 2015 kepada Jabatan
Peguam Negara kerana mahu beberapa peruntukan diperhalusi.
Akta itu diwartakan pada bulan Ogos walaupun tidak mendapat perkenan
Yang di-Pertuan Agong, sekali gus menolak cadangan Raja-Raja supaya RUU
itu diperhalusi terlebih dahulu.
Sementara itu, Sejarawan Negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim
ketika dihubungi memberitahu Majlis Raja-Raja boleh membincangkan rayuan
yang dikemukakan Dr Mahathir itu.
“Ya, Majlis Raja-Raja boleh membincangkan hal sebegini. Tetapi apa-apa
keputusan hasil perbincangan itu haruslah berlandaskan Perlembagaan,”
katanya.
Menurutnya, Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi dalam negara
dan di dalam Rukun Negara ia disebut - Keluhuran Perlembagaan.
Katanya, terdapat perbezaan posisi Raja-Raja sebelum merdeka dan
selepas merdeka dengan pentadbiran British sebelum merdeka berkali-kali
menekankan kedudukan tersebut sebagai Raja Berdaulat.
“Tetapi apabila negara telah merdeka, dengan adanya Perlembagaan
Persekutuan, ia dikenali sebagai Raja Berperlembagaan,” katanya.
“Apabila ada isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan Melayu, Majlis Raja-Raja sudah semestinya boleh memainkan peranan”.
Baru-baru ini isu yang menjadi bualan hangat di dada akhbar dan media
sosial adalah perdebatan sama ada Agong mempunyai kuasa untuk memecat
atau mengambil tindakan terhadap Najib.
Namun, sehingga kini ia tidak jelas sama ada Majlis Raja-Raja secara khususnya mempunyai kuasa untuk memecat Perdana Menteri.
Barisan peguam Mahathir yang diketuai Mohamed Haniff Khatri Abdulla
walau bagaimanpun berkata, bahawa Perlembagaan Malaysia, iaitu
undang-undang tertinggi negara memperuntukkan kuasa itu kepada Yang
di-Pertuan Agong.
“Perkara 40 (2) (a) menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh
bertindak menurut budi bicaranya melantik seorang Perdana Menteri. Ya,
ia tidak menyentuh tentang kuasa untuk memecat perdana menteri," kata
Haniff ketika dihubungi.
Tetapi, menurut Haniff, Seksyen 29 Jadual ke-11 dalam perlembagaan
menyebut “Kuasa untuk melantik termasuklah kuasa untuk membuang kerja”.
“Jika suatu undang-undang bertulis memberi mana-mana orang atau pihak
berkuasa kuasa untuk membuat pelantikan bagi memegang apa-apa jawatan
atau kedudukan, maka, melainkan jika terdapat niat yang berlawanan,
kuasa itu hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk kuasa untuk membuang
kerja atau menggantung mana-mana orang yang dilantik dan melantik
seorang lain buat sementara bagi menggantikan mana-mana orang yang
digantung sedemikian atau bagi menggantikan mana-mana pemegang jawatan
atau kedudukan yang sakit atau tidak hadir,” Seksyen 29 itu menyebut.
Walaupun rata-rata berpendapat Raja-Raja Melayu tidak pada umumnya
mencampuri urusan pentadbiran atau kerajaan, namun harus diingat
Institusi DiRaja ini pernah memainkan peranan penting dalam
menyelesaikan kemelut politik yang melanda Perak dan Terengganu suatu
ketika dahulu.
Tidak dapat dinafikan Raja-Raja dilihat sebagai ‘penyelamat’ kepada
situasi yang wujud pada masa itu. Justeru, ini bukannya satu perkara
yang asing pada Raja-Raja Melayu, Persoalannya adalah sekarang, kini ia
tidak membabitkan negeri tapi negara.
Sememangnya, Yang di-Pertuan Agong adalah lambang keutuhan negara.
Selain bertindak sebagai ketua agama Islam, Yang di-Pertuan Agong turut
berfungsi dalam tiga cabang utama iaitu eksekutif kerajaan, legislatif
dan kehakiman.
Sebagai ketua negara, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan dan kuasa
penting pada pentadbiran negara serta rakyat yang telah menzahirkan
keluhan serta rungutan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Daulat Tuanku!
0 orang berkata:
Post a Comment