Saman Anwar untuk cabar Akta MKN ditolak
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menolak saman difailkan bekas
ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencabar pelaksanaan
Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.
Hakim Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu selepas
membenarkan bantahan awal yang dikemukakan Peguam Kanan Persekutuan
Datuk Amarjeet Singh, mewakili kerajaan Malaysia dan MKN selaku
responden.
Prosiding di dalam kamar itu turut dihadiri peguam N. Surendran dan Latheefa Koya yang bertindak bagi pihak Anwar.
Amarjeet ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menolak saman itu
atas alasan tiada bidang kuasa untuk mendengar saman berkenaan kerana ia
membabitkan kompetensi legislatif oleh Parlimen untuk menggubal
undang-undang.
Surendran pula berkata mahkamah juga bersetuju dengan hujahan Amarjeet
bahawa Anwar sepatutnya mengemukakan saman dengan mendapatkan kebenaran
di Mahkamah Persekutuan mengikut Artikel 4 (3) Perlembagaan
Persekutuan.
Katanya Artikel 4 (3) Perlembagaan Persekutuan adalah untuk mencabar kuasa legislatif Parlimen dalam meluluskan undang-undang.
Bagaimanapun, Surendran berkata beliau pula berhujah bahawa Mahkamah
Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman itu mengikut Artikel
4 (1) Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan Akta MKN yang dikatakan
tidak konsisten dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Mahkamah memerintahkan kos sebanyak RM3,000 dibayar kepada responden,"
katanya yang turut memaklumkan pihaknya akan memfailkan rayuan di
Mahkamah Rayuan berhubung keputusan hari ini.
Pada 2 Ogos lalu, Anwar memfailkan saman itu selepas mendakwa
pelaksanaan Akta MKN 2016, yang berkuat kuasa pada 1 Ogos, adalah tidak
berperlembagaan dan tidak sah.
Dalam saman itu, Anwar turut memohon deklarasi Seksyen 12 Akta
Perlembagaan, Perkara 66 (4) dan Perkara 66 (4A) Perlembagaan
Persekutuan adalah tidak berperlembagaan, batal dan tidak sah selain
turut memohon injunksi bagi menghalang MKN daripada mengambil sebarang
tindakan mengikut akta itu. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment