Tiada temujanji: Peguam Anwar gagal jumpa PM
PUTRAJAYA - Penasihat Perundangan Antarabangsa Datuk Seri Anwar
Ibrahim, Kimberley Motley gagal mengadakan pertemuan dengan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.
Menurutnya, pertemuan itu sepatutnya diadakan bagi membincangkan pembebasan Anwar dan kepentingan kepada rakyat di negara ini.
Namun kegagalan Motley untuk mengatur temu janji saat akhir menyebabkan
beliau gagal bertemu empat mata dengan pemimpin negara hari ini.
"Saya sudah hantar surat dua hari lepas (kelmarin) kepada pihak Najib dan mereka akui mereka terima surat saya.
"Saya ke sini hari ini untuk bertemu dengannya tetapi malangnya beliau
(Najib) adalah seorang yang sibuk. Saya hormati masanya sebagai pemimpin
negara," katanya ketika ditemui pemberita selepas lebih sejam cuba
bertemu dengan Najib di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.
Motley dilihat tiba di pekarangan JPM tepat jam 11 pagi untuk bertemu
dengan Najib bagi membincangkan tentang pembebasan Anwar yang kini
dipenjara di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
Motley berkata, pihaknya kini sedang menunggu maklum balas dari pihak JPM untuk menetapkan tarikh temu janji dengan Najib.
"Saya harap dapat bertemu dengan beliau dan perkara ini dapat
diselesaikan sebelum saya pulang ke Washington dalam masa dua minggu
lagi," katanya lagi.
Anwar bersalah meliwat pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari
Azlan, tujuh tahun lalu dan diperintah menjalani hukuman penjara selama
lima tahun bermula Februari tahun lalu.
0 orang berkata:
Post a Comment