Perbincangan antara Tun M, Agong sulit
ALOR SETAR - Bersatu tidak berhasrat menuntut penjelasan daripada
Istana Negara mahupun Jabatan Perdana Menteri berhubung titah Yang
di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berkaitan Deklarasi
Rakyat yang diserah Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad, 16
September lalu.
Naib Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya enggan
mencampuri urusan melibatkan pihak istana kerana menganggap pertemuan
empat mata itu sebagai perbincangan sulit antara Mahathir dengan Tuanku
Abdul Halim.
“Kami hormati institusi istana dan ia adalah perbincangan tertutup,
inti patinya tidak perlu didedah kepada umum. Biarlah setakat itu
sahaja, Bersatu tidak mohon sebarang penjelasan, namun terkilan kerana
kenyataan dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
mengenai titah baginda tidak tepat,” katanya.
Menurutnya, terdapat banyak kesilapan pada kenyataan dikeluarkan
Jabatan Perdana Menteri pada 21 September itu, di mana bercanggah
dengan fakta sebenar.
“Antara kesalahan ketara ialah lokasi pertemuan, jawatan Mahathir dan
parti diwakili. Malah Gerakan Selamatkan Malaysia diasaskan sebelum
Bersatu diwujudkan. Saya juga hairan bagaimana individu yang menjadi
tajuk perbincangan sulit itu boleh mengeluarkan kenyataan media dengan
menegaskan baginda menolak Deklarasi Rakyat,” katanya.
Mukhriz berkata, sebarang kenyataan rasmi Tuanku Abdul Halim sepatutnya
dikeluarkan oleh Istana Negara, Istana Anak Bukit atau melalui
Setiausaha Sulit baginda.
“Mahathir sendiri tidak mengeluarkan kenyataan berkaitan apabila Tuanku
Abdul Halim tidak mendedahkan intipati perbincangan untuk pengetahuan
umum.
Menurutnya, pihaknya kesal wujud cubaan mengheret pihak istana bagi meredakan kemelut melibatkan Najib.
“Sekiranya pendirian Yang di-Pertuan Agong dianggap penting dan perlu
diambil serius, kenapa dua kenyataan rasmi Majlis Raja-Raja sebelum ini
tidak diendahkan? Teguran terhadap 1MDB (6 Oktober 2015) dan Akta
Majlis Keselamatan Negara (17 Februari 2016) telah dibuat Majlis
Raja-Raja namun tiada respons daripada Najib dan kerajaan BN sebagai
menunjukkan ketaatan kepada titah Tuanku,” katanya.
Mukhriz berkata, sebaliknya Najib pantas mengeluarkan kenyataan rasmi
sebagai titah baginda terhadap usaha Mahathir yang mewakili suara rakyat
itu.
“Jika benar Najib menghormati pendirian baginda, kenapa tiada satu
permohonan maaf dipersembahkan oleh beliau selaku Presiden Umno apabila
seorang Ahli Parlimen membuat kenyataan melulu bahawa mengikut
Perlembagaan Persekutuan, Malaysian Official 1 (MO1) adalah Agong,”
katanya.
Pada 16 September, Mahathir menghadap Tuanku Abdul Halim bagi
menyerahkan memorandum Deklarasi Rakyat mengandungi 1.3 juta tandatangan
rakyat Malaysia, di Istana Anak Bukit, Kedah, yang berlangsung selama
satu jam 15 minit.
Jabatan Perdana Menteri pada 21 September, mengeluarkan kenyataan
dengan memetik Najib sebagai berkata, Tuanku Abdul Halim telah
menjelaskan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa
Deklarasi Rakyat tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Baginda juga bertitah tidak boleh mencampuri usaha dijalankan Bersatu
dan sebarang tindakan seharusnya menerusi Parlimen atau pilihan raya.
0 orang berkata:
Post a Comment