Loji Rawatan Air Semenyih ditutup lagi
SHAH ALAM - Loji Rawatan Air Semenyih yang ditutup tiga hari baru-baru
ini berikutan pencemaran di Sungai Semenyih terpaksa ditutup lagi mulai
jam 10 pagi tadi berikutan masalah sama.
Susulan itu beberapa kawasan di Daerah Hulu Langat, Kuala Langat,
Sepang dan Petaling akan mengalami gangguan bekalan air, sepertimana
sewaktu penutupan pada 22 hingga 24 September lalu.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna
Selangor Elizabeth Wong berkata, pencemaran bau dikesan di Sungai
Semenyih pada 11 malam tadi.
"Loji Rawatan Air Semenyih akan beroperasi semula apabila tiada pencemaran bau," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Dalang akan diheret ke muka pengadilan]
Elizabeth dalam pada itu berkata Kumpulan Air Selangor (Air Selangor),
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)
telah mengenal pasti punca pencemaran di tapak premis bersebelahan SR
Building Materials Sdn Bhd di Batu 22 1/4, Jalan Sungai Lalang,
Semenyih.
Katanya MPKj dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menutup tapak premis
tersebut untuk memberhentikan sebarang aktiviti di sana dan untuk
siasatan lanjut.
"Kes ini telah dirujuk kepada JAS untuk tindakan selanjutnya termasuk
tindakan undang-undang. Di bawah Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekeliling
1974, jika sabit kesalahan denda maksimum RM100,000 dan/atau lima tahun
penjara akan dikenakan.
"Selain itu, bagi perniagaan atau premis yang disahkan mengakibatkan
pencemaran, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan membatalkan semua lesen
dan hentikan semua operasi perniagaan. Tiada rayuan akan dipertimbangkan
kerana kejadian tidak bertanggungjawab ini telah mengakibatkan
kesusahan kepada lebih 1.8 juta pengguna di Selangor," katanya.
Tambah beliau, tindakan pantas petugas LUAS dan Air Selangor yang telah
memantau kawasan itu 24 jam selama 10 hari akhirnya berjaya mengenal
pasti punca pencemaran.
Elizabeth berkata, pengguna boleh mendapatkan status terkini mengenai
bekalan air melalui aplikasi telefon bimbit 'mySYABAS' dan
www.syabas.com.my.
Sebelum ini, beberapa kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala
Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air sejak 22 September lalu
berikutan penutupan Loji Rawatan Air Semenyih akibat pencemaran sungai.
- Bernam
0 orang berkata:
Post a Comment