Sultan Muhammad V dipilih Yang di-Pertuan Agong ke-15
KUALA LUMPUR - Mesyuarat Majlis Raja-Raja hari ini memilih Sultan
Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bermula
13 Disember ini untuk tempoh lima tahun.
Menurut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed
Danial Syed Ahmad, pelantikan itu berkuat kuasa 13 Dis ini untuk tempoh
lima tahun.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) yang berlangsung di
Istana Negara hari ni dipengerusikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed
Sirajuddin Putra Jamalullail.
Selain Raja Perlis, mesyuarat itu turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong
Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang
juga Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan Besar Negeri
Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Turut berangkat ialah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin,
Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin
Idris Shah, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan
Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Mesyuarat itu berlangsung selama kira-kira satu jam.
Ketika ini, jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14 disandang oleh Tuanku
Abdul Halim berkuat kuasa 13 Disember 2011 dan tempoh perkhidmatan
baginda akan berakhir pada 12 Disember ini.
Jika berdasarkan sistem penggiliran yang ditetapkan Majlis Raja-Raja,
Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berada pada giliran sebagai Yang
di-Pertuan Agong ke-15.
Terdapat beberapa faktor yang akan dipertimbangkan oleh Majlis
Raja-Raja menerusi undi rahsia bagi menentukan pengganti seterusnya
seperti baginda yang dilantik berkenan untuk menjadi Yang di-Pertuan
Agong dan tidak mengalami kelemahan atau ketidakupayaan mental.
Selain itu, baginda yang dilantik adalah merupakan Raja yang berada
pada kedudukan teratas, mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima Raja
lain,bukan Raja yang telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong selama
dua penggal berturut-turut.
Mengikut kebiasaan sebelum proses pemilihan berlangsung, Penyimpan
Mohor Besar Raja-Raja terlebih dahulu akan menanyakan Raja yang
seterusnya dalam senarai giliran mengenai kesediaannya untuk dipilih
sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Sembilan Raja berkenaan kemudian akan membuat undi rahsia dan sekiranya
Raja dalam senarai itu mendapat lima undian, baginda dengan rasminya
dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong seterusnya.
Proses yang sama diulangi untuk memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong,
yang akan memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong semasa ketiadaan
baginda di dalam negara atau kerana keuzuran. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment