Sultan Kelantan raja berjiwa rakyat
KOTA BHARU - Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang dipilih sebagai
Yang di-Pertuan Agong ke-15 dalam mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja hari
ini bagi menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, merupakan
seorang raja berjiwa rakyat dan dekat di hati penduduk negeri ini.
Merupakan putera sulung Sultan Ismail Petra, Tengku Muhammad Faris
Petra, 47, menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan
sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September 2010.
Sering membahasakan diri baginda sebagai 'kita' ketika bertemu dengan
rakyat negeri ini, baginda sering dilihat turun padang bertemu
masyarakat termasuk penduduk kawasan pedalaman serta perkampungan Orang
Asli di Gua Musang dan Jeli.
Baginda yang ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Oktober
1985 dilihat lebih gemar mengenakan jubah atau berbaju Melayu atau lebih
dikenali di negeri ini sebagai 'baju gumbang', serta berkain pelikat
dan berkopiah putih ketika melawat rakyat baginda.
Sultan Muhammad V, sebelum ini Timbalan Yang di-Pertuan Agong sejak 12
Disember 2011, turut mencetuskan idea Program Walkathon D'Raja Kelantan
sejak 2011 bagi mengeratkan lagi hubungan raja dengan rakyat.
Menerusi Program Walkathon D'Raja Kelantan itu, ribuan rakyat Kelantan
daripada pelbagai peringkat umur berpeluang untuk berjalan bersama-sama
Sultan Muhammad V dan beberapa kerabat diraja yang lain sejauh 10 km di
sekitar bandar Kota Bharu.
Sepanjang laluan, terdapat beberapa 'checkpoint' yang mempersembahkan
pelbagai aktiviti kebudayaan seperti dikir barat, paluan kertuk dan
rebana ubi.
Pada 2011, program itu diiktiraf oleh Malaysia Book Of Records sebagai
penyertaan terbesar Walkathon Diraja Malaysia pada tahun berkenaan
selepas berjaya mengumpul sebanyak 21,111 peserta.
Program tersebut adalah program amal anjuran Pertubuhan Kerabat D'Raja
Kelantan Al-Muhammadi bagi mendekatkan baginda dengan rakyat,
menggalakkan amalan gaya hidup sihat selain menjadi ikon tarikan
pelancongan Kelantan.
Baginda turut tidak ketinggalan menyemai spiritual masyarakat Islam di
negeri ini menerusi program 'Qiam With Me' yang diadakan pada setiap
Ramadan sejak 2011.
Program tersebut yang diadakan pada pukul 10 malam selepas solat Isyak
dan Tarawih, diikuti kuliah agama oleh penceramah jemputan, disusuli
Qiamullail sehingga sahur dan solat Subuh berjemaah bersama baginda.
Menerusi program itu, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat kepada asnaf dan golongan kurang bernasib baik.
Malah, kedua-dua program tersebut - Walkathon D'Raja Kelantan dan Qiam
With Me - dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri Kelantan sebagai
satu lagi daya tarikan pelancongan yang unik di negeri ini.
Di sebalik populariti baginda sebagai Sultan Kelantan yang sering
mendapat liputan meluas pengamal media di negeri itu, kerap kali dalam
diam dan tanpa pengetahuan media, baginda berkenan menjengah kehidupan
penduduk yang memerlukan pembelaan.
Malah, pernah tersebar sekeping gambar di media sosial baginda membuat
rondaan menaiki pacuan empat roda seorang diri selepas bencana banjir
besar melanda Kelantan pada 2014.
Sultan Muhammad V yang diputerakan pada 6 Oktober 1969, mendapat
pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail I di sini, sebelum melanjutkan
pelajaran ke Sekolah Antarabangsa Alice Smith di Kuala Lumpur.
Baginda kemudian ke Oakham School Rutland, England, sehingga 1989
sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kajian diplomatik di St.
Cross College, Oxford serta di Oxford Centre for Islamic Studies
sehingga 1991.
Sultan Muhammad V, yang merupakan Canselor Universiti Malaysia Kelantan
(UMK), pada masa lapang gemar membaca buku, serta meminati sukan lasak
seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda, kejohanan kuda lasak dan
menembak.
Baginda mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr
Muhammad Faiz Petra, 42, Tengku Muhammad Fakhry Petra, 38, dan Tengku
Amalin A'ishah Putri, 32. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment