KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang
menempelak Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia (Hakam) Datuk S Ambiga
kerana sewenang-wenangnya menggunakan kemudahan di bangunan Parlimen
tanpa kebenarannya semalam untuk satu taklimat.
Beliau berkata pertemuan yang diadakan Ambiga itu telah menjejaskan
perjalanan sidang Dewan Negara dan telah mengarahkan pegawai Parlimen
yang membenarkan Ambiga mengadakan program taklimat berkaitan Rang
Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu, untuk memberikan
surat tunjuk sebab.
"Apa-apa perjumpaan semasa sidang Dewan Negara berlangsung mesti ada
kebenaran daripada saya, kalau ingin guna kemudahan mesti ada kelulusan
saya, dalam hal ini, taklimat itu tidak ada kelulusan dan tidak
sepatutnya dibenarkan.
"Kalau ingin bercakap mengenai politik, bercakaplah di luar Dewan,
jangan ganggu Dewan saya. Saya ada panggil Senator Siti Aishah Shaik
Ismail (yang berada dalam taklimat dengan Ambiga).
"Dan dia (Aishah) pun meminta maaf. Saya minta (Ambiga) jangan
mengelirukan masyarakat dan keluarkan kenyataan yang salah," katanya
dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Abu Zahar mengulas kenyataan Ambiga dalam satu laporan portal yang
mendakwa, tiada seorang pun Senator daripada BN dalam taklimat yang
diadakan pihaknya di bangunan Parlimen itu menandakan kesemua anggota
Dewan Negara berkenaan takut berdepan dengan rakyat berhubung rang
undang-undang MKN.
Menjawab tuduhan Ambiga itu, Abu Zahar berkata :
"Jangan ganggu apa yang Dewan Negara hendak bahaskan, kita tahu apa
hendak dibuat, jangan letak dalam mulut kita untuk apa hendak dibuat,
kita bukannya robot, kita adalah orang yang bertanggungjawab,"
tambahnya.
Tegas Yang Dipertua Dewan Negara itu, beliau tidak berminat untuk
berjumpa dengan mana-mana pihak mengenai tajuk yang belum dibahaskan di
Dewan Negara khususnya sewaktu persidangan sedang berlangsung.
Beliau menjelaskan pihaknya telah mengambil inisiatif dengan menjemput
semua senator termasuk daripada pembangkang untuk menghadiri satu
taklimat khas bersama Majlis Keselamatan Negara dua hari lepas, namun
tidak semua senator pembangkang yang hadir.
Sementara itu, Presiden Majlis Senator Malaysia Tan Sri Abdul Rahim
Abdul Rahman berkata pihaknya tidak menerima sebarang undangan berhubung
taklimat yang dianjurkan oleh Ambiga itu.
"Yang pertama, kami tidak menerima sebarang jemputan dan yang kedua
semua anggota Majlis Senator Malaysia telah menghadiri satu perjumpaan
yang telah diatur oleh Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) sejak dua
minggu lepas.
"Perjumpaan bersama PR1MA itu adalah berkenaan aktiviti-aktiviti
pembinaan rumah mampu milik," katanya dalam sidang media di lobi
Parlimen.
Katanya, senator BN tidak takut untuk berjumpa dengan mana-mana Badan
Bukan Kerajaan (NGO) atau rakyat serta berjanji akan melaksanakan
tanggungjawab yang diberikan kepada rakyat di negara ini.
Rang Undang-Undang MKN yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan
MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan
keselamatan negara, diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 Disember lepas.
- Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment