Pertemuan Najib, Hadi tak boleh dielak
SHAH ALAM - Pertemuan dua pemimpin utama parti Melayu Islam antara Umno
dan Pas tidak boleh dielakkan apabila Datuk Seri Najib Tun Razak dan
Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka menghadiri Multaqa Serantau Alumni
Al-Azhar Malaysia, esok.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata walaupun
pertemuan itu bukan satu bentuk 'kerjasama', namun kehadiran kedua-dua
pemimpin itu dinantikan oleh semua pihak.
"Sudah tentu pertemuan itu akan berlaku dalam majlis yang dihadiri oleh kedua-dua pihak, sudah pasti akan berlaku.
"Kita tunggu saja apa yang akan dirumuskan dalam multaqa esok yang
turut disertai beberapa pimpinan parti (Pas) untuk mengisi slot
disediakan," katanya kepada Sinar Online, hari ini.
Beliau mengulas pertemuan kali pertama itu selepas Najib mempelawa Pas
untuk menjalinkan silaturahim membangunkan negara mengikut syariat Islam
semasa ucapan penggulungan pad Perhimpunan Agung Umno 2015, minggu
lalu.
Pertemuan kedua-dua pemimpin itu dijadualkan akan menghadiri Multaqa
Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 di Hotel Grand Season, Kuala
Lumpur.
Pada majlis itu, Najib selaku Perdana Menteri akan merasmikan program
tersebut, manakala Abdul Hadi selaku Presiden Pas pula akan menyampaikan
ucaptama.
Selain itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Amar Nik
Abdullah turut mengisi slot forum tersebut manakala bekas Timbalan
Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa pula akan berucap mewakili Yayasan
Gerakan Kesederhanaan Global (GMM).
Ketika ditanya mengenai pertemuan pucuk pimpinan Pas dengan Umno dalam
masa terdekat berhubung cadangan Najib itu, Mahfuz bagaimanapun berkata
beliau tidak mengetahui mengenainya.
"Itu saya tiada maklumat, kalau mereka buat pertemuan pun mungkin di
belakang tabir, itu saya tidak tahu," katanya secara ringkas.
Mahfuz berkata lagi, sebarang kerjasama itu memerlukan rundingan dan
perbincangan kedua-dua pucuk pimpinan parti sebelum mana-mana pihak
meletakkan syarat.
"Soal MCA meletakkan syarat-syarat, maka saya percaya bahawa pimpinan
Umno dan Pas sudah tentu mempunyai hasrat melakukan perundingan terlebih
dahulu.
"Saya percaya perundingan saja akan menyelesaikan masalah berbangkit
dan hasrat Datuk Seri Najib untuk merealisasikan kerjasama itu,"
jelasnya.
Mahfuz turut tidak menolak kemungkinan kerjasama itu akan menyentuh agenda kepentingan orang Melayu dan Islam.
"Itu terpulang kepada kepimpinan parti apa yang harus dia fikir, apakah
masalah berbangkit orang Melayu dan orang Islam berhadapan dengan
ancaman bukan Islam.
"Ataupun perkara itu tak pernah wujud, hanya provokasi politik semata-mata," katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment