PKR serah kepada Guan Eng isu Adun dipecat
BUKIT MERTAJAM - PKR menyerahkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim
Guan Eng untuk menyelesaikan isu berhubung lima Adun parti itu yang
tidak mengundi usul tambak laut.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau
tidak melihat isu berkenaan sebagai satu perkara yang besar sehingga
boleh menjejaskan perpaduan Pakatan Harapan.
"Perkara ini (isu Adun) bukanlah pertembungan dasar atau pertelingkahan yang boleh memecahkan perpaduan Pakatan Harapan.
"Ia hanyalah satu harapan yang diletakkan dalam semangat muafakat agar
perkara ini dapat diberi perhatian," katanya kepada pemberita ketika
menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Adun Machang Bubuk, di
sini, hari ini.
Sebelum ini, Guan Eng melahirkan rasa terkejut berhubung kenyataan
secara umum oleh Mohamed Azmin mengenai pemecatan dua daripada lima Adun
PKR itu sebagai pengarah syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).
Lim dilaporkan berkata, selama ini isu-isu yang berbangkit dalam
gabungan Pakatan Harapan dibincangkan secara tertutup dan menteri besar
atau ketua menteri tidak pernah campurtangan dalam urusan negeri yang
diterajui oleh Pakatan.
Adun Bukit Tengah, Ong Chin Wen dan Adun Kebun Bunga, Cheah Kah Peng,
dipecat selepas bertindak berkecuali semasa mengundi terhadap usul
mengenai penambakan tanah yang dibawa oleh Barisan Nasional semasa
persidangan Dun Pulau Pinang.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin berkata pihaknya telah
memaklumkan kepada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa
Deklarasi Rakyat yang ditandatangani, bukan sekadar menuntut supaya
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berundur, namun mahu semua
sistem dirombak mengikut acuan reformasi parti itu.
"Mesti bertindak dengan agenda reformasi supaya sistem yang rosak boleh diperbaiki, kita tidak akan berkompromi," katanya.
Jumaat lepas Dr Mahathir menandatangani deklarasi tersebut bersama
bekas pemimpin kanan negara, pemimpin pembangkang, tokoh masyarakat
sivil dan ketua badan bukan kerajaan (NGO) yang mendesak Najib berundur.
- Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment