Mustafa, Khairudin hadir deklarasi atas izin Hadi
SHAH ALAM - Kehadiran Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali dan
Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Khairudin Aman Razali ke
sidang media deklarasi rakyat yang digerakkan bekas Perdana Menteri, Tun
Dr Mahathir Mohamad adalah berdasarkan keizinan Presiden Pas, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang.
Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan berkata, keputusan itu dibuat
oleh Abdul Hadi atas pertimbangan perhubungan politik yang dilihat
wajar.
“Tindakan ini sebenarnya menelusuri peta besar dan "road map" yang
telah dilakar dengan teliti oleh PAS untuk terus menerajui gerakan
perubahan total dalam negara tercinta ini.
“Berasaskan prinsip Amal Jamaei, Presiden mempunyai hak (hak Amal
Jamaei dan hak Perlembagaan parti) untuk membuat keputusan segera dalam
situasi tertentu yang dirasakan perlu untuk kepentingan parti dan
mencongak strategi semasa meskipun secara makronya dilihat berbeza
dengan keputusan awal parti,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau bertegas mengulangi prinsip Pas yang tidak
bersetuju menjatuhkan pemimpin negara, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Pas mahu Pilihan Raya Umum diadakan segera untuk kembali menyerahkan
kepada rakyat membuat keputusan terhadap kepimpinan negara akan datang
setelah kerajaan yang ada pada hari ini terpalit 1001 isu yang
melibatkan integriti kepimpinan.
“Pas mempunyai langkah dan strategi tersendiri dalam melakar tindakan
mendepani cabaran politik semasa tanpa perlu terikat dengan gerakan mana
- mana pihak,” katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment