Ajal balik dari kenduri kahwin
GUA MUSANG - Perjalanan pulang lima sekeluarga setelah memenuhi
undangan majlis perkahwinan berakhir tragedi apabila terlibat dalam
kemalangan maut di Kilometer (KM) 37, Jalan Gua Musang - Kuala Krai, di
sini.
Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 6.30 petang tadi meragut nyawa
pemandu kereta, Azahar Muhamad, 53, yang beralamat di Kampung Baru Limau
Kasturi, di sini.
Isteri mangsa, Noraini Seman, 43, dan tiga anaknya, Nur Amalina Azahar,
27, Muhamad Azerey Azahar, 23 dan Nur Amirah Balqis Azahar, 14,
mengalami cedera parah.
Pemandu kereta Alza yang juga Timbalan Pengurus Agro Bank Gua Musang,
Mohd Baharudin Isa, 45, juga turut cedera parah dan kesemua mangsa
dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, kejadian
yang melibatkan dua kenderaan itu berpunca daripada kenderaan jenis
Proton Wira yang gagal memotong kereta di hadapannya.
"Difahamkan, mangsa bersama isteri dan tiga anaknya dari arah Kuala
Krai selepas menghadiri kenduri di Jerangau Barat dan dalam perjalanan
pulang ke rumahnya di Kampung Limau Kasturi.
"Sampai di tempat kejadian, mangsa cuba memotong kereta di hadapan
namun gagal lalu bertembung dengan kereta jenis Perodua Alza dari arah
bertentangan, menuju ke Kuala Krai.
"Akibat pelanggaran itu, mangsa yang juga pekerja TNB Gua Musang,
meninggal dunia setibanya di Klinik Kesihatan Chiku 3," katanya lagi.
Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
0 orang berkata:
Post a Comment