14 anggota TUDM cedera dikejarkan ke hospital
TAWAU - Seramai 14 anggota tentera cedera dan dikejarkan ke Hospital
Tawau selepas sebuah helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia
(TUDM) mendarat cemas di Sekolah Menengah Kebangsaan Balung di sini
pagi tadi.
Penolong Penguasa Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Tawau, Sahidi
Mahali berkata dalam kejadian kira-kira 9.45 pagi itu, lima pelajar
turut tercedera.
Pekerja kantin sekolah dipercayai turut tercedera.
Difahamkan kejadian berlaku ketika helikopter berkenaan sedang cuba hendak mendarat di atas padang sekolah itu.
Satu bilah kipasnya dikatakan turut terpelanting kira-kira 200 meter.
TUDM dalam satu kenyataan berkata pesawat Nuri tersebut yang dinaiki 14
anggotanya berlepas dari pangkalan TUDM di sini pada pukul 7.35 pagi
untuk melakukan latihan penerbangan harian.
"Semua anak kapal dan penumpangnya terselamat," katanya.
Pihak TUDM berkata mereka telah menghantar pasukan menyelamat dan akan membawa keluar pesawat daripada lokasi kejadian.
TUDM sedang membuat penilaian berhubung insiden tersebut sebelum mengambil tindakan lanjut.
"TUDM akan menubuhkan satu pasukan penyiasat bagi mengenal pasti punca kejadian," kata kenyataan itu. – Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment