Mangsa banjir Kelantan meningkat kepada 12,400 orang
KOTA BHARU - Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada
12,400 orang daripada 4,211 keluarga setakat 9 malam ini berbanding
11,245 orang daripada 3,696 keluarga petang tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Zainuddin
Hussin berkata, sebanyak 62 pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan
mangsa banjir berkenaan di lapan jajahan di negeri ini.
Jumlah mangsa teramai ialah di jajahan Pasir Mas iaitu seramai 8,679 orang
daripada 3,131 keluarga yang ditempatkan di 34 pusat pemindahan,
diikuti jajahan Tumpat dengan 1,592 orang (519 keluarga) di empat pusat
pemindahan manakala seramai 719 orang (181 keluarga) di lima pusat
pemindahan di Kota Bharu, katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata di jajahan Tanah Merah kini terdapat 299 orang (75
keluarga) ditempatkan di enam pusat pemindahan, 98 orang (23 keluarga)
di tiga pusat pemindahan di Kuala Krai, 539 orang (152 keluarga) di tiga
pusat pemindahan di
Pasir Puteh, 364 orang (102 keluarga) di enam pusat pemindahan di
Machang dan 110 orang (28 keluarga) di sebuah pusat pemindahan di
Bachok.
Zainuddin berkata jumlah mangsa banjir di jajahan Tumpat dijangka terus
meningkat berikutan air dari kawasan hulu Sungai Golok sedang mengalir
ke jajahan itu.
Dalam pada itu, hanya paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang masih
melepasi paras bahaya pada sembilan meter namun menunjukkan trend
penurunan setakat 9 malam ini, menurut laman sesawang kerajaan negeri di
http://ebanjir.kelantan.gov.my.
Paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang 10.29 meter(m) berbanding 10.31m petang tadi.
Sungai Kelantan dengan bacaan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah pada
15.92m berbanding 16.43m petang tadi (paras bahaya 16m) manakala Sungai
Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai mencatatkan penurunan pada paras
20.81m berbanding 21.29m petang tadi (paras bahaya 25m).
Paras air Sungai Lebir di Tualang, Gua Musang pula susut kepada 27.42m
berbanding 27.87m petang tadi (paras bahaya 35m). - Bernama
1 orang berkata:
Mukin bala sbb dosa2 kita.
Banyakkan istigfar.
Post a Comment