• Lewat lancar SAR, PR desak kerajaan mohon maaf Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein (tengah) bercakap pada sidang media MH370 bagi hari ke-18 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. Fopto Sinar Harian ZULFADLI ZAKI
1 / 1
KUALA LUMPUR - Kerajaan Malaysia khususnya Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein didesak memohon maaf kepada semua penumpang dan anak kapal MH370 atas kelewatan melancarkan misi mencari dan menyelamat (SAR).

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, walaupun sistem pertahanan negara sudah dilengkapi dengan peralatan radar yang canggih namun kegagalan operator bertindak segera menyebabkan usaha SAR semakin sukar dilakukan.

"Kalau negara China boleh minta maaf kerana mereka tersilap menghantar imej satelit, inikan pula Malaysia yang lambat bertindak walaupun radar sudah mengesan signal pesawat itu.

"Kisah kapal terbang Egypt Air yang terhempas pada 1999, bila seminit hilang, SAR serta merta dilancarkan. Lagi lama ditunggu, lagi luas kawasan pencarian," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, hasrat kerajaan untuk menaik taraf sistem radar sedia ada tidak timbul kerana ia bukan kegagalan radar sebaliknya kecuaian dan kelemahan operator pengendalinya.

"Jangan beri alasan untuk berbelanja berbilion lagi, radar berfungis dengan baik tapi Jabatan Penerbangan Awam (DCA) tidak beritahu semua pihak dan tidak bertindak," dakwanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan pesawat MAS MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu disahkan berakhir di sebuah kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.

Najib mengumumkan perkembangan terbaru itu selepas dimaklumkan oleh wakil Cawangan Siasatan Nahas Udara (AAIB) dari Britain.