• MH370
1 / 1
KUALA LUMPUR - Tentera Udara Diraja Malaysia ( TUDM ) tidak mengambil tindakan terhadap pesawat MH370 yang membuat 'air turn back' ketika melalui ruang udara Selat Melaka kerana menyangka itu adalah arahan daripada menara kawalan udara (ATC), Subang.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, TUDM mengesahkan bahawa pesawat itu tidak memberi ancaman ketika ia dikesan oleh radar tentera pada jam 2.40 pagi.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan daripada Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut) yang mempersoalkan tindakan Pangliman TUDM, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud memaklumkan ada berlaku 'air turn back' sehari selepas kehilangan pesawat MH370.

Menurut Abdul Rahim, kenyataan itu dibuat berdasarkan cerapan radar TUDM di Gong Kedak, Kelantan dan Bukit Bendera, Pulau Pinang.

"Sebagai pemilik primary radar kita bertanggungjawab untuk memaklumkan perkara itu pada pihak SAR (mencari dan menyelamat).

"Air turn back itu dikesan dalam radar kita, cuma kita anggap air turn back oleh Malaysia Airlines (MAS) itu sebagai 'pesawat yang mesra' dan itu arahan daripada ATC dan buat lencongan dan akhirnya dikesan menuju ke Andaman atau Utara laut China Selatan," katanya kepada Dewan rakyat sewaktu ucapan penggulungan titah diraja bagi Kementerian Pertahanan di Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua bangun mencelah dan mempersoalkan kelewatan maklum balas yang diberikan pihak TUDM kepada ATC.

Abdul Rahim berkata,  Panglima Udara telah membuat kenyataan sehari selepas kehilangan MH370 selepas mendapat maklumat yang sama daripada negara jiran.

"Kita tidak boleh bergerak sendiri kerana ini melibatkan ramai pihak jadi kita mendapatkan bantuan daripada pakar-pakar seperti Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), National Transportation Safety Board (NTSB), Air Accidents Investigation Branch (AAIB).

"Setelah mendapat maklumat yang sama SAR digerakkan menghala Pulau Perak dan menghala ke Laut Andaman.

"Apabila tidak menemui bukti di sana. Kita minta bantuan syarikat satelit Inmarsat, kajian dibuat berdasarkan ping yang dikeluarkan oleh alat yang dipasang pada enjin. Akhirnya setelah membuat pengiraan kesimpulan dibuat pesawat itu telah jatuh di selatan Lautan Hindi, " katanya.