Setuju cadangan Noh jika...
SHAH ALAM - Cadangan membenarkan pemaju perumahan memberikan pinjaman
kepada pembeli tidak akan dipersetujui sekiranya polisi itu hanya akan
memberi keuntungan melampau kepada syarikat pemaju terbabit.
Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata,
dalam usaha membantu rakyat, kadar faedah yang dikenakan ke atas pembeli
juga perlu jauh lebih rendah berbanding yang dikenakan bank.
“Perlu diperjelaskan bahawa saya tidak akan bersetuju dengan cadangan
YB Menteri jika syarikat pemaju boleh menggunakan Lesen Peminjam Wang
untuk menjual hartanah yang mempunyai margin keuntungan melebihi tiga
kali ganda daripada margin risiko.
“Pihak kementerian hendaklah memantau kadar faedah yang dikenakan.
Kadar faedah pada 12% dan ke atas misalnya, bukanlah satu penyelesaian
berkebajikan. Mungkin kita boleh cadangkan kadarnya ditetapkan tidak
melebihi 6% kerana kadar ‘risk-free return’ masa kini adalah 4%,”
katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
[ARTIKEL BERKAITAN: Kabinet diperjelas cadangan pemaju beri pinjaman perumahan]
Sebelum ini, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan, Tan Sri Noh Omar mencadangkan agar membenarkan pemaju
perumahan memberikan pinjaman kepada pembeli sebagai maklum balas kepada
rungutan pemaju susulan berlaku peningkatan jumlah rumah siap terbina
yang tidak terjual.
Namun, kenyataan itu menerima pelbagai reaksi daripada pemimpin di
negara ini terutama pembangkang yang rata-rata membantah cadangan
tersebut.
Dalam pada itu katanya, Lesen Peminjam Wang hanya boleh digunakan bagi
menyelesaikan pembelian hartanah di bawah Skim Kebajikan Sosial dengan
matlamat jelas untuk membantu para setinggan membeli rumah yang
ditawarkan kepada mereka apabila permohonan pinjaman perumahan mereka
ditolak oleh bank.
Tegasnya polisi ini tidak boleh digunakan oleh pemaju untuk membantu
pembeli kaya mendapatkan pinjaman bagi maksud melakukan spekulasi nilai
hartanah bagi mendapat keuntungan berganda.
Abdul Khalid turut menawarkan khidmatnya untuk berbincang lanjut dengan
pihak kementerian bagi membantu rakyat di negeri ini dengan polisi itu.
“Jika YB Menteri benar-benar ikhlas untuk mendahului rakyat, saya
sekali lagi menyatakan kesediaan saya untuk berbincang tentang modus
operandi serta mekanisme cadangan Skim Kebajikan Rakyat dengan beliau
dan pegawai di kementeriannya.
“Saya akan memberi sokongan penuh jika usaha dilakukan untuk membantu
golongan miskin dan setinggan memiliki rumah idaman mereka. Saya juga
ingin mengingatkan YB Menteri agar jangan terpengaruh dengan rayuan
syarikat pemaju yang tamak dan hanya mengutamakan keuntungan
semata-mata,” katanya.
1 orang berkata:
Mana j/kuasa penerangan ruu355 pas hari ni? Bagi penerangan ruu kat kawasan mana skarang? Rajinnya j/kuasa penerangan ruu355 pass... patut la suma org dah paham.
Post a Comment