13 Adun Pas Selangor setia dengan parti
SHAH ALAM - Pas Selangor hari ini menyatakan 13 daripada 15 Adunnya
tetap bersama Pas dan menyokong penuh kerajaan negeri tersebut.
Walaupun sebelum ini ada desas-desus menyatakan tiga daripada 13 Adun
parti itu turut dipujuk menyertai gerakan Harapan Baru, namun mereka
tetap menyokong Pas, kata Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul
Samad.
"Dalam satu mesyuarat hari ini, 10 daripada 13 Adun hadir bagi
berbincang isu-isu harian selain mengesahkan berapa ramai lagi masih
bersama kita (Pas).
"Tiga Adun yang tidak hadir iaitu bagi Sabak, Bangi dan Paya Jaras saya
dah berjumpa sebelum ini dan kesemua mereka menyatakan sokongan kepada
parti. Hanya dua Adun yang sertai Harapan Baru," katanya kepada
pemberita di sini hari ini.
Dilaporkan Adun Morib Hasnul Baharuddin dan Adun Hulu Kelang, Saari
Sungib serta Anggota Parlimen Kota, Raja Siti Mariah Mahmud akan
menyertai Harapan Baru.
Ketika ini Pas memiliki 15 kerusi Dun Selangor, DAP 15 dan PKR 13 manakala BN mempunyai 12. Terdapat seorang Bebas.
Iskandar berkata, sebarang tindakan disiplin terhadap Hasnul dan Saari
terserah kepada Pas Pusat kerana ia melibatkan polisi parti bagi
menentukan keperluan mereka untuk mengosongkan kerusi yang dimenangi
atas tiket Pas itu. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment