Jangan biar isu 1MDB jadi beban Umno
KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
menggesa kerajaan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan
permasalahan negara terutama isu skandal 1MDB.
Jika tidak, isu itu akan menjadi beban kepada Umno sebagai parti yang mendukung kerajaan, kata beliau.
Beliau berkata, jika isu itu berlarutan ia akan terus menjejas
keyakinan anggota parti dan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional
(BN) sekaligus berupaya menjejaskan peluang kerajaan untuk mendapat
majoriti mudah dalam pilihan raya (umum) akan datang.
"Mesti ada penyelesaian muktamad...kalau tak selesai jadi beban...nak
selesai pun jadi beban kerana dengan keadaan ringgit kita sekarang sudah
jadi berapa bilion? Kita bercakap tentang kes ribuan juta amaun,"
katanya.
Berucap menutup mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Cheras di sini malam
tadi, Muhyiddin mengulangi pendiriannya bahawa penjelasan jitu perlu
diberikan bagi mengelakkan rakyat dari terus tertanya-tanya.
Muhyiddin berkata isu 1MDB juga memberikan persepsi negatif kepada
pelabur luar yang seterusnya boleh menjejaskan ekonomi negara.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata pasukan petugas khas yang ditubuh
untuk menyiasat kes 1MDB tidak perlu diganggu supaya proses penyiasatan
boleh dipercepatkan.
"Sekarang pun dah ada reman, ada tindakan...saya harap diteruskan
kerana lebih cepat lebih baik untuk parti dan kerajaan," katanya.
Muhyiddin juga mencadangkan agar laporan interim 1MDB dijadikan dokumen
awam agar masyarakat tahu apa yang sebenarnya berlaku dalam kes
berkenaan.
"Kalau nak jadikan 'public document' pun tiada halangan.
"Elok juga rakyat tau apa kedudukan sebenar. Kita tak mau ia diputar belit.
"Sebagai pemimpin kita mesti memikul amanah. Kita diamanah urus negara
dan tadbir segala harta kekayaan, rakyat mahu tahu bagaimana harta kita
(tadbir) untuk mereka," katanya.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno menegaskan telah tiba
masanya kerajaan dan parti menguruskan isu persepsi yang cukup menebal
di kalangan rakyat.
Katanya, pelbagai sentimen rakyat Malaysia terutama yang diluah di
media sosial perlu diteliti kerana ia telah menjadi sentimen yang
nyata.
"Dalam media sosial rakyat mengeluh soal GST, soal kerajaan katanya rasuah.
"Ia mungkin benar, maka perlu diteliti mengapa jadi begitu.
"Kita tidak mahu ada sindrom bisu, sindrom penafian...kita tolak semua,
kita rasa semua tak betul kerana kita telah terlalu lama berkuasa,"
katanya.
Justeru, katanya kerajaan dan parti perlu kembali ke pangkal jalan,
turun padang mencari masalah dan penyelesaian terhadap isu dan masalah
rakyat.
Ini, katanya, bagi memastikan keyakinan dan kepercayaan rakyat dapat
dikembalikan dan mereka merasa hanya BN parti harapan negara.
Menjawab mengenai pertemuan beliau dengan bekas perdana menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad yang dikatakan sebagai 'perbincangan sulit mengenai isu
negara', Muhyiddin berkata ia hanya merupakan pertemuan biasa.
"Tiada yang sulit...saya berkomunikasi dengan Tun, (kemudian) saya jelaskan kepada Kabinet kerana tak mahu ada salah faham.
"Dia (Dr Mahathir) bimbang dengan kedudukan Najib sebab dia sayang Najib...pasal mengenang sejarah Tun (Abdul) Razak (Hussein).
"Jadi nak sokong Najib bila timbul isu berkaitan dengan Najib.
"Dia hanya beri pandangan dan saya tak fikir ia melampau," katanya. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment