28/07/15
Muhyiddin, 4 menteri terkeluar dalam rombakan Kabinet, kata sumber
Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan
rombakan Kabinet minggu ini, menggugurkan 5 daripada 35 menteri termasuk
timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang lantang mengkritik cara
perdana menteri menguruskan hutang RM42 bilion syarikat milik negara,
1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata sumber.
Sumber kerajaan berkata, selain
Muhyiddin, 2 lagi menteri Umno termasuk Menteri Kemajuan Luar Bandar dan
Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri
Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek akan digugurkan dalam
rombakan Kabinet Najib – yang mendapatkan mandat sendiri selepas
memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Naib presiden Umno paling popular dan
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bakal dilantik
menjadi timbalan perdana menteri baharu dan Timbalan Menteri Kewangan
Datuk Ahmad Maslan akan dijadikan menteri penuh.
Zahid akan mengekalkan portfolio menteri
dalam negeri, kata sumber itu, dan menambah beberapa menteri kanan akan
kekal untuk menyokong Najib – perdana menteri keenam Malaysia.
2 lagi menteri dijangka digugurkan
daripada Kabinet Najib adalah Datuk Seri G Palanivel – yang baru
digugurkan sebagai presiden dan ahli MIC, serta Menteri Di Jabatan
Perdana Menteri Senator Datuk Seri Idris Jala.
Idris yang mengetuai Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) kini berada dalam penggal keduanya sebagai senator.
“Rombakan Kabinet akan dilakukan minggu
ini dan perdana menteri mengubahsuai senarai menteri untuk Yang
di-Pertuan Agong pertimbangkan,” kata sumber Putrajaya kepada The
Malaysian Insider di Kuala Lumpur malam tadi.
“Senarai Kabinet akan dipersembahkan
kepada Agong pada Rabu,” kata sumber itu, dan menambah perundingan
dengan anggota kanan Umno bermula awal minggu ini.
Muhyiddin yang berusia 68 tahun dijangka
akan digugurkan selepas memperbaharui kritikannya terhadap 1MDB dalam
mesyuarat tahunan Umno Bahagian Cheras pada Ahad.
Hutang RM42 bilion 1MDB dikritik hebat bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin pembangkang.
Mereka turut mempersoalkan Najib selepas
akhbar perniagaan antarabangsa The Wall Street Journal (WSJ)
mendedahkan beliau menerima AS$700 juta (RM2.67 bilion) sebelum PRU13
melalui akaun peribadinya seperti berada dalam kertas siasatan penyiasat
Malaysia.
Najib dikatakan mempertimbangkan untuk
menyaman akhbar perniagaan AS itu selepas pentadbirannya menggantung
permit 2 akhbar perniagaan, The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily
kerana laporan mereka tentang 1MDB.
Selain itu, blog Sarawak Report disekat daripada diakses di Malaysia kerana melakukan pendedahan sama.
Najib menubuhkan 1MDB selepas mengambil alih kuasa daripada bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.
Beliau masih belum melakukan rombakan Kabinetnya sejak 2009 dan selepas PRU13, Najib menambah senarai menteri penuh kepada 35.
Selain Ahmad, timbalan menteri lain yang
akan dijadikan menteri penuh adalah Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi
Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Sumber lain berkata, bekas pegawai khas
Najib dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim akan
turut dinamakan sebagai timbalan menteri pada ketika perdana menteri
mengukuhkan kuasanya menjelang pilihan raya umum tiga tahun lagi.
Tidak diketahui siapa yang akan
menggantikan Idris dan Palanivel. Idris merupakan salah seorang daripada
menteri di Jabatan Perdana Menteri – kementerian terbesar dalam sejarah
Malaysia moden.
“Penyokong setia Najib akan menjadi
dominan dalam Kabinet kali ini,” kata sumber itu dan menambah perdana
menteri mempertimbangkan untuk mengambil anggota Jawatankuasa Kira-Kira
Wang Negara (PAC) yang sedang menyiasat isu 1MDB.
PAC diketuai ahli Parlimen Pulai tiga penggal Datuk Nur Jazlan Mohamed, seorang akauntan bertauliah.
“Ini bukanlah rombakan besar-besaran, tetapi lebih kepada pengubahsuaian,” kata sumber itu.
Najib melihat kejatuhan popularitinya
walaupun melakukan pelbagai inisiatif dan memenangi PRU13, di mana
Barisan Nasional (BN) hanya mendapat 47% daripada undi popular.
Najib sudah melakukan pelbagai
langkah-langkah ekonomi termasuk membentangkan Rancangan Malaysia ke-11
dan memperkenalkan bantuan tunai BR1M, namun hutang besar 1MDB dan
pemindahan wang ke akaun peribadi menjatuhkan popularitinya.
Muhyiddin mempersoalkan skandal
menyelubungi hutang 1MDB dan wang dalam akaun peribadi Najib seperti
dilaporkan WSJ, tetapi Pejabat Perdana Menteri mengatakan semalam beliau
sepatutnya menunggu keputusan siasatan.
Sekurang-kurangnya empat sudah ditahan
berkait skandal 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International Sdn
Bhd di mana penyiasat mengatakan kes ini sangat kompleks.- The Malaysian Insider
Kerajaan mengatakan siasatan awal sudah membersihkan 1MDB, tetapi masih menunggu keputusan audit.
1 orang berkata:
Kesian Menteri Cap Ayam, Hassan Malek. Penat2 bodek Najib dan Rosmah melangit, tapi kena ketepikan juga. Lopeh ni Lek, bukak gerai ayam kat pasar Kolo Pilah. Kalau hargo ayam naik jual ikan sopek pulak.
Post a Comment