Jalan Gua Musang-Cameron Highlands ditutup 2 jam
GUA MUSANG - Jalan Gua Musang - Cameron Highlands terpaksa ditutup
kepada lalu lintas selama lebih dua jam ekoran kejadian tanah runtuh di
Kilometer 97, petang semalam.
Ketua Polis Daerah, Superitendan Rajab Ahad Ismail berkata, kejadian
kira-kira jam 5 petang itu disebabkan hujan lebat yang berlarutan di
kawasan berkenaan.
Katanya, ekoran kejadian yang menjejaskan kawasan sepanjang 150 meter
itu, jalan terpaksa ditutup sementara dan dibuka semula untuk lalu
lintas pada jam 7.30 petang.
"Hujan lebat yang berterusan menyebabkan lereng bukit runtuh
mengakibatkan aliran lumpur beserta kayu jatuh menutup sebahagian jalan
utama berkenaan.
"Kita menerima aduan daripada pekerja di tapak pembinaan berhampiran
mengenai kejadian itu dan anggota dari Pondok Polis Lojing diarahkan ke
tempat kejadian.
"Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan kerja-kerja membersihkan
kawasan runtuhan dilakukan bersama orang awam, pemilik tanah dengan
bantuan polis," katanya lagi.
Tambah Rajab, pengguna yang melalui jalan berkenaan diminta
berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling di musim tengkujuh ini.
0 orang berkata:
Post a Comment