Jentera BN perlu siap sedia hadapi PRU
MUAR - Semua jentera BN khususnya Umno diminta untuk bersiap siaga
menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) akan datang bagi memastikan kemenangan
besar dapat dicapai.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia
termasuk melipatgandakan usaha dengan memberi tumpuan lebih terhadap
beberapa kawasan sasaran.
"Saya ingin mengingatkan semua jentera BN dan Umno khususnya supaya
melipatgandakan usaha di kawasan-kawasan tumpuan melalui beberapa gerak
kerja ke arah mencapai kemenangan di Pusat Daerah Mengundi (PDM)
meliputi kawasan kecundang atau yang mempunyai kelebihan terlalu sedikit
dalam PRU sebelum ini.
"Saya merasakan bahawa seteru politik pada masa kini telah
melipatgandakan kerja-kerja mereka namun saya yakin sekiranya
usaha-usaha itu ditingkatkan lagi, maka kawasan-kawasan tumpuan akan
dapat peroleh kemenangan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan
dengan kepimpinan Umno Bahagian Muar, Ledang, Pagoh dan Ledang di
Bangunan Umno Muar, di sini, sebentar tadi.
Beliau dalam pada itu turut mengingatkan supaya jentera Umno dapat
bersama-sama membantu jentera BN dari parti-parti komponen dalam
mendekati kumpulan sasaran bukan Melayu agar mereka turut memihak kepada
BN menjelang PRU14.
"Saya mengingatkan juga meskipun Umno mempunyai kumpulan sasaran yang
terdiri daripada orang Melayu, tetapi rakan-rakan parti komponen bukan
Melayu juga harus didekati.
"Malah mereka juga akan bersama dengan kita untuk melakukan beberapa
tindakan dan Umno harus membantu jentera parti-parti komponen agar
kumpulan sasaran memihak kepada calon BN dalam PRU akan datang,"
katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid sempat meluangkan masa kira-kira sejam bertemu
dengan barisan kepimpinan empat Umno Bahagian dalam satu majlis tertutup
di sini.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga
Ketua Umno Bahagian Muar, Datuk Razali Ibrahim dan Pengerusi
Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor yang juga pemangku
Ketua Umno Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed.
Ahmad Zahid, yang tiba kira-kira jam 3.55 petang itu, turut dibawa
melawat bangunan dan kemudahan yang disediakan di situ termasuk melihat
potret-potret pemimpin Umno terdahulu.
0 orang berkata:
Post a Comment