Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sudah terkenal dengan pendekatan ceramah beliau yang acap kali diselit jenaka dan sidiran tajam – salah satu kepakaran beliau.
Inilah yang membuatkan beliau sentiasa dekat dengan rakyat bawahan, selain kerap turun padang dan suka bersembang dengan mereka. Adalah suatu lumrah alam seperti pejuang rakyat yang lain, perjalanan beliau dipenuhi ranjau dan duka serta pahit manis.
Tokoh yang popular dengan gelaran Mat Sabu yang penuh kontroversi ini, masih bertongkat akibat sikap agresif polis sewaktu bermotosikal ketika perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Walau pun begitu, dengan pengalaman beliau yang pernah dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, dan sudah beribu kali difitnah media kawalan Barisan Nasional, beliau masih selamba dan bersemangat ketika Roketkini bertemu dengannya di sebuah restoran di ibu kota selepas berbuka puasa baru-baru ini.
Hubungan PAS-DAP Penuh santai dan selesa, dan restoran pula berkumandang didendangan pula dengan lagu-lagiu Hari Raya, perbualan kami tidak menyentuh langsung tentang Aidilfitri. Dalam wawancara itu, antara yang disentuh adalah merayakan kepelbagaian budaya di antara DAP dan PAS – dua parti pembangkang pusat paling aktif.
Begitu pun, perbualan singkat kami penuh makna, dek kejujuran dan kenyataan beliau yang bersifat kritis tetapi lembut, langsung menyerikan suasana Aidilfitri yang bakal menjelma.
Bila disoal tentang perkembangan hubungan kerjasama parti komponen dalam Pakatan Rakyat, terutama di antara DAP dan PAS, Mat Sabu menjawab mudah bahawa selepas tsunami politik 2008, hubungan itu menjadi semakin akrab.
“Hubungan sangat baik sehingga diari saya penuh dengan jemputan DAP. Saya hairan kenapa DAP gemar dengan saya. Inilah realiti yang saya hadapi,” jelasnya.
Bagaimana pun beliau masih kritikal tentang keakraban hubungan ini. “Adakah kita berpuas hati dengan hubungan baik ini? Bagi saya, belum. Kita sentiasa harus memperbaiki lagi dari masa ke semasa.”
Ibarat berumah tangga, katanya, DAP dan PAS akan sentiasa berselisih pendapat walau bersama pendirian dalam banyak perkara.
“Inikan pula sebuah parti yang besar dengan latar belakang yang agak berlainan. Kita sentiasa mesti mencari jalan, berusaha dan setakat ini, PAS, DAP, dan PKR bersetuju dalam dasar bila mengambil alih pemerintahan, dan membuat pembaharuan kepada rakyat Malaysia, tidak akan mengetepikan sama sekali Perlembagaan Malaysia,” sambungnya.
Menyentuh tentang hubungan peringkat akar umbi antara DAP-PAS pula, Mat Sabu mengaku berasa terkejut kerana menurutnya selama 32 tahun penglibatan dalam politik, beliau sendiri seolah-olah sudah berada di alam lain apabila melihat evolusi hubungan antara kedua-dua parti itu.
“Kalau di peringkat awal sebelum wujud hubungan erat ini, kami sendiri dalam PAS, kalau kata tengok muka Lim Kit Siang, kalau boleh tak mahu tengok langsung… Apa beliau cakapkan kita pun tak tahu (ketawa). Tetapi bila kita damping dia, kita nampak ada sesuatu…
“Sekarang saya macam dalam alam yang lain kalau dibandingkan dulu yang mana perkauman cukup tebal. Sekarang, rakyat boleh duduk dalam suasana yang saya andaikan kalau perpaduan ini pecah, agak sukar untuk dipulihkan,” katanya.
Menurut beliau, teras perjuangan Islam PAS melalui Negara Berkebajikan dan asas demokrasi sosial DAP mempunyai banyak persamaan untuk kesejahteraan rakyat, terutamanya dalam usaha mewujudkan peluang saksama untuk semua.
Tambahnya, hanya mereka yang dangkal fikiran akan menuduh PAS menggadaikan Islam kerana Islam itu adil untuk semua umat manusia. Budaya
“Dalam pilihan raya, nak ambil hati pengundi terlalu berlainan budayanya. Cina lain, Melayu lain, India lain, Kadazan lain, Iban pun lain,” katanya bila diaju mengenai perbezaan budaya antara masyarakat di Malaysia.
Dalam keadaan yang lebih khusus, beliau member contoh tentang perbezaan budaya dan amalam politik di antara PAS dan DAP di mana baginya, DAP tidak perlu banyak ahli atau banyak cawangan seperti PAS.
Katanya, kaum Cina lebih menumpukan kepada isu sementara orang Melayu lebih kepada pendekatan.
“Saya beri contoh, Ahli Parlimen kaum Melayu, dia selalu melawat kampung, pergi kenduri, ziarah orang meninggal dan di Parlimen dia tidak cakap apa pun, tetapi orang kampung boleh terima dia.
“Tidak pula dalam kalangan masyarakat Cina, mereka hendak lihat apa wakil rakyat mereka perjuangkan untuk mereka sama ada di peringkat DUN atau Parlimen,” katanya sebelum menyambung menghirup kopi.
Jadi, tambah beliau, sebaik meletak cawan kopinya, kerjasama itu perlu berterusan dengan mencampuradukkan budaya yang berlainan ini.
“(Pengerusi DAP) Karpal Singh misalnya, sebelum dia berkerusi roda. berapa kali dia balik dalam setahun ke kawasan Parlimen dia? Tetapi rakyat tetap pilih dia, bukan sebab nak tengok dia pergi makan kenduri, melawat orang, tetapi orang nak tengok otak dia, kata-kata dia, perjuangan dia di Parlimen. Begitu juga dengan Lim Kit Siang.
“Berbanding pula dengan masyarakat Melayu, ia lebih konservatif. Inilah hasil pendekatan Kemas, pendekatan sogok duit, bantuan yang buat UMNO bertahan begitu lama,” jelasnya sedikit tegas.
Bagaimana pun, beliau tidak merujuk kepada semua Melayu, jelasnya, seperti di Kelantan, pemikiran orang Melayu di sana agak unik.
“Di Kelantan, orang yang dilihat perlu ada di Parlimen, mereka akan undi walau pun tak pernah jumpa atau bersalam atau berpeluk dengan kita,” katanya.
Tambah Mat Sabu, budaya ini yang perlu digabungkan untuk memastikan perpaduan di kalangan rakyat berbeza kaum dan budaya.
“DAP perlu faham budaya orang Melayu dalam PAS, dalam UMNO, dalam PKR, dan Melayu kena faham budaya Cina dan kaum lain,” jelasnya.
Menurutnya, kadang-kadang DAP cuma ada satu cawangan sahaja tetapi boleh menang pilihan raya kerana DAP menyentuh tentang soal dasar berbanding tentang pendekatan.
“Jadi pemahaman budaya yang berbeza dan kerjasama ini, kita mesti berdasarkan dua budaya ini,” katanya.
Media
“Kata sesetengah orang, media is the new god. Tuhan baru. Media yang menentukan arah fikiran masyarakat awam,” jelasnya bila disoal tentang peranan media yang membentuk persepsi masyarakat.
Beliau berkata orang Melayu sensitif terhadap isu agama, raja, dan isu-isu kaum Melayu sendiri.
“Sebab perkara ini telah di pupuk begitu lama sejak sebelum dan selepas Merdeka. Misalnya ditubuhkan Askar Melayu Diraja untuk menjaga orang Melayu.
“Kemudian UMNO itu sendiri mencanang untuk jaga Melayu. Jadi, sebarang pengurangan kuasa UMNO, dianggap sebagai pengurangan kuasa Melayu. Perkara ini kita kena lawan sebab saluran media terutama dalam dunia ketiga, memang dikawal pemerintah,” ujarnya.
Beliau memberi contoh manipulasi media di peringkat antarabangsa mengenai kebangkitan rakyat di Syria.
“Amerika sokong rakyat untuk jatuhkan kerajaan diktator. Sedangkan di negara Arab, mana ada negara demokrasi. Amerika tak beritahu mereka nak tumbangkan kerajaan Bashar al-Assad (Presiden Syria) kerana kerajaan itulah yang membuka tapak kepada pejuang-pejuang Palestin, Hamas, dan Hisbullah.
“Amerika nak serang bukan sebab demokrasi. Yang paling tiada demokrasi, Arab Saudi itulah, dilindungi pula oleh Amerika. Malah difahamkan bala tentera Arab Saudi masuk ke Bahrain, membunuh rakyat Bahrain yang bangkit menentang kerajaan zalim. Tapi media tidak liputi kes ini, maka isu ini tidak jadi besar.
“Jadi, begitulah juga kita di Malaysia,” jelasnya panjang lebar, masih berlemah lembut.
Mat Sabu mengakui usaha untuk Pakatan Rakyat memecahkan persepsi yang dibentuk oleh media kawalan BN itu bukan perkara mudah.
“Saya ambil contoh di Terengganu, naik sepanduk di banyak tempat, ‘Kalau UMNO kalah, DAP akan menang.’ Padahal DAP tidak bertanding langsung di Terengganu. UMNO guna cara ini kerana dia anggap Melayu di Terengganu tidak bijak.
“Sementara kita seronok di Kuala Lumpur, dengar ceramah, pergi forum, tapi kita lupa orang di Rompin, di Baram, di Kanoit, di Jeli… Pergantungan mereka hanya kepada RTM, TV3. Semua itu berita UMNO dan BN saja yang paling baik di dunia. Ya, memang bukan mudah melawan persepsi ini.” Melayu dan DAP
Baru-baru ini timbul isu kononnya Mat Sabu akan bertanding di Parlimen Bukit Bintang yang selama ini menjadi kubu kuat DAP. Beliau secara berhemah, menafikan akan bertanding di Bukit Bintang.
“Apa yang saya sebut dalam wawancara dengan sebuah akhbar ialah, andai saya dipilih bertanding di Bukit Bintang, dan jika DAP tak bertanding menentang BN, saya yakin saya boleh menang di situ.
“Maksudnya, yang hendak saya sampaikan ialah, keyakinan masyarakat Cina kepada PAS,” jawabnya mudah.
Namun, beliau menjelaskan keadaannya berbeza dengan masyarakat Melayu kerana mereka belum yakin penuh dengan DAP.
Oleh itu, Mat Sabu akui sebagai rakan dalam Pakatan, PAS yang harus melipatgandakan usaha meyakinkan Melayu tentang DAP, selain usaha DAP sendiri.
Jeas beliau lagi, DAP mempunyai medium seperti lidah rasmi Rocket edisi Bahasa Melayu dan laman web Roketkini yang juga dalam Bahasa Melayu, yang boleh diperluaskan capaiannya kepada masyarakat Melayu.
“Itu salah satu usaha untuk menarik Melayu memahami DAP. Melalui medium itu, orang Melayu akan beri tumpuan bila, contohnya Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, sahabat baik saya, memberi semula elaun kepada Sekolah Agama Rakyat, elaun agama, guru KAFA, elaun imam, bilal semua naik dan kemudian beri pula elaun kepada orang hafal al-Quran,” katanya.
Jelas Mat Sabu, semua ini harus sentiasa diberi publisiti kerana perlu untuk DAP menghakis tuduhan UMNO dan rakan-rakan pelampaunya bahawa DAP bukan parti anti-Islam, bukan parti Cina.
“Media kawalan BN seperti lidah rasmi UMNO Utusan Malaysia, TV3, atau RTM memanglah tidak beri liputan. Tetapi kita yang kena bagi tumpuan lebih, sebab kalau benda ini tersebar luas kepada rakyat, orang Melayu tak akan takut lagi dengan DAP bila DAP bersama Pakatan Rakyat memerintah, mereka tak rasa apa-apa. “Tapi kita kena kerja lebih kuat,” tambahnya.
PAS pikul beban DAP?
“Ya! Kawan-kawan dalam DAP kena faham, bila PAS kerjasama dengan DAP, kami yang menerima beban daripada DAP. Bukan kerana apa, kerana lebih 50 tahun rakyat telah didoktrinkan bahawa DAP ini kafir, DAP ini Cina, DAP ini komunis.
“Kami yang teruk menghadapi tekanan dari UMNO, Perkasa dan badan-badan lain. Kami yang kena pikul beban ni,” katanya.
Menurut Mat Sabu, perkara pertama PAS perlu lakukan ialah meyakinkan ahli-ahli sendiri dan yang kedua, meyakinkan NGO-NGO Islam dan Melayu.
Katanya, Melayu bandar tidak ada masalah mengundi DAP sebagaimana dibuktikan pada pilihan raya umum lalu di mana DAP menang besar di di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Selain Melayu kampung, jangan lupa pula dengan Melayu yang bekerja dalam sektor kerajaan. Ini kerana mereka telah didoktrin oleh Biro Tata Negara, yang peruntukannya lebih RM500 juta termasuk Jabatan Penerangan.
“Pegawai-pegawai kerajaan ini berjumlah 1.2 juta yang mana 80 peratusnya Melayu. Kalau 70 peratus dari Melayu itu katakan Melayu UMNO, mereka boleh pengaruhi lagi keluarga mereka.
“Itu juga satu blok yang besar yang perlu kita hadapi, iaitu pegawai kerajaan,” katanya.
Kelemahan
Bila Mat Sabu mengatakan bahawa kerjasama dalam Pakatan perlu dibaiki, ini juga bermaksud ada kelemahan.
Beliau memberi contoh kebanyakan keputusan awal oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat tanpa perbincangan dengan rakan komponen Pakatan lain.
“Contoh kalau Exco PAS nak umumkan sesuatu, kawan-kawan dalam DAP perlu dijelaskan supaya mereka bersedia dengan jawapan-jawapan. Begitu juga bila Exco DAP nak umum sesuatu, PAS perlu bersedia dengan jawapan.
“Sebab perkara-perkara sebegini akan timbul dari masa ke semasa kerana kita dalam masyarakat majmuk, berlainan agama dan budaya.
“Saya tak kata kita sembunyi perkara-perkara ini di bawah karpet tetapi kita mesti cari jalan penyelesaian,” katanya.
Tentang isu cadangan penutupan pusat hiburan di Kedah apda bulan Ramadhan, beliau berpendapat ia sebaik-baiknya dibincang di peringkat Pakatan Rakyat di Kedah.
“Beritahu dulu perlaksanannya. Tapi sebab diumumkan dulu oleh pegawai kerajaan, ia menyebabkan rakan-rakan Pakatan melenting. Akhirnya baru diberi penjelasan bahawa hanya untuk orang Islam sahaja.
“Itu pun selepas dua tiga minggu. Kita telah buang masa bergaduh kes kecil,” jelasnya.
Agama
Mengenai isu beberapa orang Melayu hadir pada majlis makan malam di gereja Metodis Damansara Utama (DUMC) di Selangor, Mat Sabu menjelaskan, PAS mengambil sikap berhati-hati kerana sedar ia adalah helah licik UMNO.
Bagaimana pun, beliau akui ada percanggahan pendapat di dalam kalangan PAS sendiri terutamanya kenyataan Pemuda PAS yang lantang “menyokong” serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap majlis makan malam itu.
Namun, jelasnya lagi. Ahli-ahli PAS tidak goyang pendirian mereka selepas diberikan penjelasan tentang perkara sebenar.
“Ada sesuatu yang istimewa dalam PAS ini. Apa-apa isu pun dalam PAS ini, bila timbul, kita dapatkan pandangan Mursyidul Am kita (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dan Presiden kita (Datuk Seri Abdul Hadi Awang)” ujarnya.
Menurutnya, memang Pemuda PAS agak agresif dalam memberi pandangan “begitu begini” tetapi bila datang pandangan dari Nik Aziz dan Hadi, semua ahli terbuka hati menerimanya.
Memberi contoh isu penggunaan nama Allah dalam kitab Bible, Mat Sabu berkata, Nik Aziz dan Hadi telah banyak menyelamatkan keadaan di Malaysia dengan memgambil pendekatan Islam sebenar, iaitu mengetahui sepenuhnya butir-butir isu serta menanganinya dengan penuh cermat dan berhikmah.
“Bila pemimpin PAS pergi melawat gereja yang dibakar, dan jumpa paderi, dan ceritakan pula di negara-negara Arab, orang Kristian menggunakan nama Allah, jadi perkara ini mudah diselesaikan.
“Padahal kalau mereka hendak tiupkan semangat pergaduhan, memang senang ketika itu. Tetapi inilah Islam yang diamalkan oleh PAS demi keamanan dan kesejahteraan semua.”
Kisah dua sahabat
Mat Sabu mengkagumi Lim Guan Eng kerana sama prinsip dengan beliau sendiri, iaitu menentang rasuah dan penyelewengan serta mengambil sikap sederhana.
“Saya kagum dengan kesederhanaan beliau terutama dalam menjaga wang rakyat, berjimat cermat, dan dia tidak pernah mengatakan this is my right. Misalnya hak dia untuk naik kapal terbang business class, hak dia untuk tukar kereta baru, hak dia untuk duduk di rumah kerajaan.
“Itu adalah hak beliau, tapi beliau tidak guna hujah-hujah itu. Malah beliau setiasa bersederhana dan guna wang rakyat untuk rakyat, serta saya nampak pendapatan yang bertambah terutama RM88 juta pada tahun pertama memerintah dan pada tahun kedua RM77 juta, tanpa ada hasil-hasil balak dan hasil-hasil lain.
“Maknanya dia dapat menambah pendapatan melalui pengurusan. Ini yang saya rasa kagumlah. Nak kata puas hati 100 peratus, tidak,” katanya sambil ketawa.
Jelasnya lagi, bila sahabatnya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menyatakan hasrat untuk memerintah seperti Khalifah Umar Abdul Aziz, beliau telah laksanakan cara itu setakat ini.
Guan Eng telah secara tidak langsung menunjukkan dasar DAP melalui kerja-kerja kuat beliau menjaga wang rakyat, ujarnya.
“Ini juga memang prinsip saya dan saya sokong prinsip beliau, iaitu amat tidak suka dengan rasuah dan penyelewengan,” katanya.
Secara berseloroh, Mat Sabu berkata beliau lebih berharta daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, dan selepas lebih tiga tahun Guan Eng mentadbir negeri, beliau masih tidak kaya-raya.
Mat Sabu melihat Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang tidak ada penyelewengan sama sekali.
“Setakat yang saya tahu lah. Yang saya tidak tahu, wallahualam. Maksudnya, saya nampak ini sebuah kerajaan yang baik dan beliau juga berjaya mendisiplikan kakitangan kerajaan, sehingga hampir semua majlis perbandaran yang dulunya rugi, sekarang sedang dan telah membuat keuntungan.
“Ini langkah baik yang saya akan bersama menyokong,” jawabnya.
Beliau mnejelaskan, DAP telah mengatasi jauh UMNO-BN dari sudut menjaga hak dan kebajikan orang Melayu dan Islam.
“Kalau yang apa bekas Ketua Menteri Pulau Piang Koh Tsu Koon lakukan dahulu, ternyata DAP sudah jauh ke hadapan, terutamanya dalam Jabatan Kerja Raya, lebih 90 peratus Melayu dapat projek secara sah dan berhak.
“Dalam Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, lebih 80 peratus. Dalam Jabatan Pengairan & Saliran Pulau Pinang, 100 peratus. Cuma yang tak dapat UMNO, itu yang mereka bising,” katanya.
Bagaimana pun, jelasnya, untuk memenuhi cita-cita Pakatan Rakyat untuk memberi keadilan dan peluang sama rata kepada semua rakyat yang susah, usaha perlu dipertingkatkan lagi.
“Sekarang ini tidak ada publisiti, yang ada cuma yang buruk sahaja dalam media kawalan BN.
“Tetapi membantu masarakat Melayu terutamanya mengenai penyediaan rumah kos rendah, ini mestilah dipertingkatkan lagi oleh kerajaan Pulau Pinang supaya tidak dituduh bahawa mereka yang mampu membeli rumah tinggi sahaja boleh berada di Pulau Pinang.
“Ini kita kena ingat, kalau penggal kedua nanti, jika diberi kuasa oleh rakyat lagi, Kerajaan Pakatan Rakyat mesti tumpukan hal ini. Pembinaan rumah kos rendah mesti diperbanyakkan,” jelasnya mengakhiri perbualan kami. – Roketkini.com
0 orang berkata:
Post a Comment