Surat layang cuba pecah belah keutuhan Umno
BERA - Penyebaran surat layang membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
merupakan fitnah semata-mata bagi memecah-belahkan perpaduan Umno yang
kini semakin kukuh.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,
tindakan pihak tertentu menyebarkan surat itu menunjukkan mereka berasa
goyah dengan keutuhan perpaduan dalam kalangan pemimpin dan anggota Umno
sekarang.
"(Perpaduan) Umno sekarang semakin padu sebab kumpulan yang tidak setia
dengan parti sudah keluar Umno dan menubuhkan parti baharu... dulu ada
kumpulan yang suka menikam daripada dalam, seperti gunting dalam
lipatan.
[ARTIKEL BERKAITAN: Surat palsu disifatkan ‘fitnah dajal’]
"Apabila kumpulan ini sudah keluar parti, yang tinggal sekarang 100
peratus anggota Umno di bawah pimpinan Datuk Seri Najib (Tun Razak) yang
mana kesemuanya bersatu, perpaduan begitu kukuh dalam kalangan
(anggota) Umno kerana kita hanya ada satu pasukan, tidak ada pasukan
lain lagi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan
persekolahan 2017 kepada pelajar dan anugerah kecemerlangan Ujian
Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 di bawah Parlimen Bera di sini,
hari ini.
Ismail Sabri berkata demikian ketika mengulas tentang penyebaran surat
itu menerusi media sosial yang kononnya ditandatangani Ahmad Zahid untuk
mendesak Najib meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan
Wilayah berkata, penyebaran surat berkenaan tidak akan sesekali berjaya
memecah-belahkan Umno serta tidak akan menggugat keakraban hubungan yang
sudah lama terjalin antara Ahmad Zahid dengan Najib.
"Sejarah Umno pun menunjukkan (hubungan) timbalan perdana menteri
sangat akrab dengan perdana menteri kita antaranya Datuk Seri Ahmad
Zahid (Hamidi) pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Najib
(Tun Razak) suatu ketika dahulu," katanya.
Katanya beliau yakin kesemua anggota Umno tidak akan terpengaruh dengan
penyebaran surat berkenaan memandangkan mereka sudah pun bijak menolak
segala perkara tidak benar yang boleh memecah-belahkan perpaduan dalam
Umno.
Seramai 6,500 pelajar dari Parlimen Bera menerima sumbangan persekolahan berkenaan. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment