Hampir pilihanraya banyak fitnah,
Ramai hendah jatuhkan PAS terutama yang anti islam !
Fitnah dan memfitnah jangan jadikan dagangan !
PAS sentiasa teliti.
-Pak Karamu-
Pemimpin Pas terima permohonan maaf Sinar Harian
Haslina Kamaludin
27 Mac 2018
(Ubah saiz teks)
SHAH ALAM - Pas terima permohonan maaf yang dibuat secara terbuka oleh
Sinar Harian berikutan kesilapan dalam melaporkan kenyataan presiden
parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkaitan isu 1Malaysia
Development Berhad (1MDB).
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara sama
juga perlu dilakukan oleh mereka yang memfitnah Presiden Pas dan
berlapang dada mengaku silap sama seperti yang dilakukan Sinar Harian.
"Pas tetap berpegang teguh kepada prinsip seseorang adalah tidak
bersalah sehingga dibuktikan bersalah tanpa mengira isu dan lawan, sama
ada skandal 1MDB yang nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
sering terpalit, skandal Ijok yang nama Menteri Besar Selangor, Datuk
Seri Mohamed Azmin Ali terpalit mahupun skandal pembelian banglo dan
terowong bawah laut Pulau Pinang yang nama Ketua Menteri Pulau Pinang,
Lim Guan Eng terpalit.
"Jika diberi kuasa, Pas akan mengambil sikap yang sama terhadap
skandal-skandal lama sebagaimana skandal-skandal baru dengan melakukan
penyiasatan secara teliti dan membawa mereka yang bersalah ke muka
pengadilan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berharap, pada zaman yang penuh fitnah ini, tidak ada mana-mana pihak yang cepat menjatuhkan hukum.
"Budaya menghukum hari ini, bila tuduh sahaja terus dikatakan salah ini
perlu dibendung. Sesiapa yang menuduh perlu membawa bukti.
"Berhati-hatilah pada mereka yang suka menuduh lalu mencabar orang yang
dituduh mereka untuk menyaman bagi membersihkan tuduhan terhadapnya
terutamanya menjelang pilihan raya umum untuk meraih undi," katanya.
Beliau berkata, apa yang berlaku ini cumalah taktik yang songsang untuk
menipu pengundi kerana sudah ada pelbagai contoh di depan mata di mana
mereka yang menuduh ini akan memohon maaf di mahkamah selepas itu
setelah tujuan fitnah telah tercapai.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata,
langkah Sinar Harian mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada
Abdul Hadi sangat dihargai dan dihormati.
"Tidak dinafikan, laporan yang salah itu menjadi fitnah kepada Presiden
Pas khasnya dan Pas sendiri secara amnya apabila berita itu ditulis
sebagai 'Pas berkecuali Isu 1MDB'.
"Realitinya Presiden Pas adalah antara individu yang awal mendesak
kerajaan supaya isu 1MDB ini ditangani dengan satu siasatan yang telus
dan adil serta mengingatkan kerajaan mengenai kesan ke atas rakyat
ekoran isu ini," katanya menerusi satu kenyataan media berasingan.
Jelasnya, Pas sudah lama mendesak Najib agar memberi penjelasan kepada
ahli parlimen dan membentangkan hasil siasatan terperinci terhadap audit
kewangan 1MDB, selain melahirkan rasa kecewa apabila kerajaan gagal
memberikan penjelasan.
"Kami bermula pada 9 Mei 2015, menerusi kenyataan media Presiden Pas,
seterusnya di Kota Bharu pada 8 Julai 2015, Presiden sekali lagi
menegaskan supaya 1MDB tidak memperjudikan nasib rakyat.
"Pada Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (PIHAK 11) di Tangkak
Johor pada 5 September 2015, Presiden ada mengulas isu 1MDB dan akhirnya
merumuskan perlaksanaan Islam sahaja yang akan mampu menyelesaikan
kemelut yang melanda negara termasuk isu 1MDB," katanya.
Katanya, penegasan demi penegasan dari Presiden Pas mengenai pelbagai
isu negara termasuk 1MDB terus bergema seperti Perasmian Himpunan
Harapan Semua (HARAP 3.2) di Pulau Serai Dungun pada 18 September 2015,
Perbahasan Bajet 2016 di Dewan Rakyat pada 26 Oktober 2015.
"Tidak hanya itu, ada artikel beliau yang bertajuk Akibat Pisahkan Politik Daripada Agama pada tanggal 9 Mac 2016.
"Respons media beliau yang disiar Sinar Harian dengan tajuk 'PAS Tidak
Terpengaruh Dedak Umno' pada 13 Jun 2016, termasuklah beberapa siri
persoalan dan perbahasan Abdul Hadi di Dewan Rakyat sepanjang tahun 2015
hingga 2018," katanya.
Sehubungan itu, jelasnya, Pas mengharapkan agar perkara salah lapor ini
tidak lagi berulang di masa hadapan kerana ia bakal mengundang fitnah
dan seterusnya menghilangkan rasa hormat serta kepercayaan awam kepada
kewibawaan akbar Sinar Harian sebagai sebuah akhbar yang meletakkan tag
linenya Telus dan Tulus.
"Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam senantiasa bersikap terbuka dan mesra media.
"Pihak kami sentiasa ingin memperbaiki dan memperbaharui hubungan baik
dengan semua pihak media selama mana media tersebut mematuhi etika
kewartawanan yang tinggi dan akhlak pemberitaan yang baik," katanya
lagi.
Nasrudin berkata Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang
diamalkan Pas sentiasa berdiri di atas pendekatan hujah dan justifikasi.
"Justeru, tidak ada apa yang perlu disembunyikan. Cuma isunya, media
mestilah juga berdiri di atas prinsip bebas dan telus," katanya.