Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

SATU DARI TUGAS DAN SEMANGAT ISLAM

Pas bawa misi baik, dakwah di Sarawak’
Ahmad Yakob
Ahmad Yakob

KOTA BHARU - Pas berharap kehadiran parti berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diterima baik dan tidak disalah ertikan oleh rakyat di negeri itu.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, kedatangan Pas ke Sarawak lebih kepada mengembangkan dakwah dan bukan untuk memecahbelahkan rakyat di negeri itu.

“Dengan adanya usaha yang dibuat parti, kita dapat sebarkan lagi matlamat perjuangan melalui dakwah, walaupun ia memakan masa panjang.

“Kita harap masyarakat Sarawak faham tujuan kedatangan kita bukan untuk memecahbelahkan mereka, tapi bawa misi baik, secara damai,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan berkata, parti itu akan terus menggunakan pendekatan dakwah kerana politik mempunyai kaitan langsung antara pembentukan kuasa dan kerajaan.

Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, beliau harap pengundi di Beting Maro dan 10 lagi Dun yang ditandingi Pas membuat pilihan terbaik pada PRN berkenaan nanti.

“Kita akan berjaya, Insya-ALLAH, kita berdoa agar calon sulung Pas akan lahir di Sarawak selepas 7 Mei nanti berikutan penerimaan positif rakyat setempat ketika kempen pilihan raya dijalankan,” katanya.

Mengenai kesihatannya, Ahmad yang masih bercuti selepas menjalani pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia 14 April lalu berkata, beliau kini bertambah pulih.

ADA DUIT SEMUA BOLEH JADI


Pas yakin BN menang dua pertiga di Sarawak
Mustafa Ali
Mustafa Ali

KUALA TERENGGANU - Pas yakin Barisan Nasional (BN) akan berjaya mengekalkan kuasanya di Sarawak dan meraih majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Mustafa Ali berkata, BN dilihat masih memikat hati pengundi Sarawak selain mampu menyelesaikan isu tempatan terutama di kawasan luar bandar.

"Saya rasa BN akan terus memerintah Sarawak dan akan menang dua pertiga majoriti dalam PRN11 nanti, mungkin ada kawasan yang akan kalah, tetapi saya yakin BN akan terus kekal di Sarawak," katanya pada sidang media di pejabat Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), di sini hari ini.

Mustafa berkata, Pas melihat masyarakat Sarawak lebih menumpukan kepada isu tempatan berbanding isu nasional.

Selain itu, beliau berkata, faktor kepimpinan yang ditonjolkan Ketua Menterinya, Datuk Seri Adenan Satem dalam pentadbiran kerajaan negeri memberikan keyakinan kepada rakyat.

"Datuk Seri Adenan Satem ini mempunyai feel good factor,  lagi boleh menang di Sarawak," katanya.

Mengenai isu menteri besar Terengganu, Mustafa berkata, pilihan terbaik kini ialah mengadakan pilihan raya negeri.

Beliau mendakwa tindakan menukar Ahmad Razif Abdul Rahman (menteri besar) bukanlah pilihan terbaik kerana ia akan menimbulkan masalah berterusan dan BN bukanlah memiliki majoriti yang besar.

Bagaimanapun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berpendapat Pas tidak campur tangan dalam isu berkenaan.

"Pas menyerahkan kepada BN sehingga habis penggal dan biarlah mereka sendiri yang menyelesaikan masalah yang dihadapinya, kami tidak mahu campur tangan," katanya. - Bernama

TEROK AKIDAH BUDAK NI !

Mejar Zaidi sertai DAP, tinggalkan AMANAH selepas PAS

 
DAP Pulau Pinang mengumumkan kemasukan lapan anggota Melayu baru, dua sebelum ini daripada PAS dan seorang daripada Parti Amanah Negara (AMANAH), yang merupakan sekutu parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Pengerusi DAP negeri Chow Kon Yeow dan setiausaha politik kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng, Wong Hon Wai membuat pengumuman itu hari ini.

Paling menonjol daripada lapan individu itu ialah bekas anggota Tentera Udara Malaysia Mejar Zaidi Ahmad yang sebelum ini menyertai PAS dan Amanah.

Zaidi, yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang, mula dikenali selepas membuat laporan polis terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung isu dakwat kekal semasa pilihan raya umum ke-13 pada tahun 2013.

Beliau dipecat daripada tentera udara oleh mahkamah tentera pada tahun 2014 dan selepas itu menyertai PAS. Beliau kemudian meninggalkan PAS untuk menyertai AMANAH tahun lepas, selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan PAS.

Zaidi berkata beliau merasakan DAP adalah parti yang lebih sesuai untuknya, sambil menambah "yang paling penting, saya masih dalam HARAPAN".

"Jika penyertaan saya dalam DAP boleh membantu memecahkan persepsi anti-Melayu dan anti-Islam terhadap parti itu, akhirnya ia juga akan memberi manfaat kepada AMANAH, PKR dan HARAPAN secara keseluruhan," katanya.

'Ini adalah sebuah negara yang bebas'

Ditanya sama ada beliau telah memaklumkan kepada pemimpin partinya, iaitu Naib Presiden AMANAH, Mujahid Yusof Rawa, Zaidi berkata:

"Di negara ini, setiap orang mempunyai hak dan kebebasan untuk menyertai mana-mana parti.

"Pemimpin-pemimpin AMANAH juga melakukannya selepas berhenti dari PAS," katanya berseloroh.

Zaidi berkata bagaimanapun, keahliannya di dalam AMANAH akan ditamatkan apabila menandatangani perjanjian dengan DAP.

Ketika dihubungi, Mujahid hanya berkata "Ini adalah sebuah negara yang bebas, AMANAH percaya dalam pilihan bebas.

CHONG WEI TERUS BERJAYA

Chong Wei tundukkan Lin Dan
Lee Chong Wei
Pemain negara Datuk Lee Chong Wei berjaya menewaskan pemain nombor 1 dunia, Chen Long dari China pada perlawanan Akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Celcom Axiata 2016 di Stadium Malawati Shah Alam hari ini.- Foto Bernama
 
JAGUH negara, Datuk Lee Chong Wei beroleh suntikan psikologi terbaik dalam persiapan ke Sukan Olimpik apabila menundukkan musuh tradisi, Lin Dan di separuh akhir Kejohanan Badminton Asia di Wuhan, China, hari ini.

Kemenangan 22-20, 15-21, 21-4 di laman musuhnya itu adalah bekalan terbaik buat Chong Wei kerana ini adalah kemenangan keduanya ke atas Lin Dan di China, selepas Terbuka China November lepas yang merupakan pertemuan terakhir mereka sebelum ini.

Ini juga pertemuan pertama mereka tahun ini, sekali gus membantu Chong Wei merapatkan rekod pertemuan mereka kepada 11-25, yang masih berpihak kepada juara Olimpik dua kali itu.

Menanti Chong Wei di final esok adalah juara dunia, Chen Long yang mudah menewaskan rakan sepasukannya, Tian Houwei dengan 21-14, 21-16.

Dalam perlawanan separuh akhir hari ini, Chong Wei yang ketinggalan 7-14 di set pertama bangkit mengejar mata untuk mengikat jaguh China itu, 20-20 sebelum mengutip dua mata terakhir untuk memenangi set tersebut.

Namun set kedua menyaksikan Lin Dan kembali bertenaga untuk mendahului Chong Wei 11-7 dan terus mengekalkan momentum untuk mengikat Chong Wei 1-1 dengan kemenangan 21-15.

Begitupun, pertarungan sengit yang diharapkan di set penentuan tidak menjadi dengan Chong Wei bijak mengawal gelanggang untuk mendahului 6-0 sebelum terus melebarkan jurang kepada 12-1.

Chong Wei yang kini menduduki ranking kedua dunia mengesahkan kemenangannya ke atas pemain nombor tiga dunia itu, dengan 21-4, sekali gus tiket ke final esok. - Bernama

MALANG DALAM SEBUAH NEGARA DEMOKASI


Azmin kesal diarah pulang 2 Mei
Azmin Ali
Azmin Ali

SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melahirkan rasa terkejut apabila beliau diminta meninggalkan Sarawak pada 2 Mei ini dan tidak dibenarkan masuk semula sehingga hari mengundi pada 7 Mei ini.

Memetik portal The Borneo Post semalam, Azmin dimaklumkan perkara itu secara rasmi oleh pegawai Jabatan Imigresen ketika beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak, semalam.

“Mereka cop pada nota yang saya perlu meninggalkan Sarawak pada 2 Mei dan tidak akan membenarkan saya untuk kembali sehingga hari mengundi.

“Ini adalah terang-terangan mengabaikan undang-undang,” katanya semasa tinjauan mesra di Satok, Kuching, Sarawak, semalam.

Azmin, yang juga Menteri Besar Selangor, turut berkongsi perkara itu di akaun Facebooknya semalam, dengan memuat naik sekeping gambar nota pemberitahuan itu, sambil mempersoalkan arahan siapa di sebalik Imigresen Sarawak.

Dalam posting berasingan, Azmin berkata, walaupun tempoh beliau di Sarawak dipendekkan, namun ia tidak menghalangnya memahami suara hati pengundi dan berkongsi visi parti pembangkang itu untuk perubahan.

Mengulas lanjut, Azmin berharap, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem akan mengotakan janjinya membawa pembaharuan kepada negeri itu dan membenarkan pemimpin pembangkang memasuki negeri itu semasa musim pilihan raya.

“Ini adalah masa di mana semua pemimpin politik harus dibenarkan datang menyatakan kebimbangan kami dan berkongsi sentimen dengan rakyat Sarawak,” katanya.

INILAH KELEBIHAN PAS DENGAN PARTI LAIN

Tak boleh tubuh kerajaan perpaduan
Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

MARANG - "Tidak boleh!". Demikian jawapan ringkas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai penubuhan kerajaan perpaduan di antara Pas dan Umno di Terengganu pada saat Umno dalam keadaan terumbang-ambing.

Malah, beliau turut menyifatkan kedudukan Umno di negeri Terengganu kini dalam keadaan ‘darurat’ berikutan krisis yang melibatkan Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman dengan Istana Terengganu.

“Tujuan kena ikhlas (untuk mewujudkan kerajaan perpaduan), jangan tujuan kerana darurat. Ini darurat, tidak boleh,” katanya sambil menegaskan beliau, bagaimanapun, tidak mengikuti sepenuhnya perkembangan Umno di negeri itu.

Ketika ditanya selain faktor politik semasa, adakah Pas meletakkan apa-apa syarat jika Umno di Terengganu mahu bersama dengan Pas yang dasarnya memperjuangkan Islam, tegasnya, perkara itu sudah dimaklumkan sebelum ini.

“Kita dah cakap lama (mengenai penubuhan kerajaan perpaduan). Kena baca balik (kenyataan-kenyataan saya sebelum ini),” katanya ketika ditemui selepas berakhirnya kuliah pagi Jumaat di Masjid Rusila di sini, semalam.

Kenyataan Ahli Parlimen Marang itu jelas menunjukkan ketegasan pendiriannya sebelum ini yang diluahkan selepas merasmikan Himpunan NGO Marang di pekarangan Masjid Pasir Puteh, Merchang, di sini, minggu lalu.

Ketika itu, beliau berkata Pas tidak ada halangan untuk bersama mana-mana parti politik di negara ini dengan syarat mereka boleh menerima Islam, al-Quran dan as-Sunnah.

“Siapa pun tak kisah, Umno ke, DAP pun... jika terima Islam. Siapa yang masuk Islam kita terima,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau juga dipetik berkata, jika Umno bersedia bersama dengan Pas, muzakarah perlu diadakan bagi mencari titik persamaan itu.

Sementara itu, ketika mengulas pandangan pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik yang mencadangkan agar parti Pas dan Umno bergabung, Abdul Hadi mengulangi syarat Dr Zakir, iaitu mengikut al-Quran dan as-Sunnah.

“Dr Zakir sebut kena ikut al-Quran dan as-Sunnah, tapi orang lupa syarat itu,” katanya.

umno sentiasa betul, tak perlu tegur ?

Beri teguran bukan bererti tidak setia
Shafie Apdal
Shafie Apdal

JITRA - Teguran yang dibuat beberapa pemimpin Umno bukan bererti tidak setia kepada parti sebaliknya kesetiaan itulah yang perlu menyatakan kebenaran.

Demikian kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang turut mengakui bimbang dengan situasi yang sedang berlaku dalam parti itu.

“Banyak jasa Umno sebagai parti pemerintah tapi kebelakangan ini bukan hanya merunsingkan, membimbangkan dan menakutkan. Tapi kelihatan buntu dari segi penerimaan dalam kalangan masyarakat Cina, India termasuk orang Melayu sendiri.

“Apatah lagi bagi anak-anak muda yang berusia 40 tahun ke bawah. Ini cukup membimbangkan kita kerana memikirkan masa depan negara dan anak-anak,” katanya pada program bicara isu-isu semasa Selamatkan Malaysia (Team B Umno) di Dewan Lye Huat Garden, Napoh, kelmarin.

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, jika keyakinan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kian merosot, kesannya pelabur juga tidak berminat ke negara ini.

“Pada PRU11 apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan kuasa kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri, kita (BN) boleh menang dua pertiga kerusi. Menjelang PRU12, tiga isu saja menyerang Tun Abdullah iaitu harga barang, isu tingkat empat dan kadang-kadang beliau tertidur, isu itu saja buatkan BN kalah di lima negeri.

“Saya tegur Najib, keadaan ini membimbangkan saya. Bayangkan dalam keadaan tiga isu PRU12, zaman Tun Abdullah penggal kedua kita dapat 142 kerusi Parlimen. PRU13 dalam keadaan sama, kerusi BN turun dari 142 kepada 133 kerusi,” katanya.

Beliau menyarankan supaya perdana menteri selaku presiden parti mempertimbangkan semula isu-isu yang berbangkit dan berharap BN dapat menang pada PRU14.

“Bimbang saya... isu cukup banyak, harga barang, 1MDB (1Malaysia Development Berhad). Saya tegur bukan bererti bila tegur kita tak setia kepada parti. Sebenarnya ketaatan kita kepada parti yang menguatkan parti.

“Kesetiaan kita menyatakan kebenarannya, keikhlasan dan kejujuran kita dalam perjuangan. Bukan kita nak sebut yes bos! gila nak dapat jawatan.

“Saya malu dengan perdana menteri sebab Sabah pun pernah bertukar kerajaan. Bukan sekali, tapi empat kali. Bila hilang kuasa, bukan mudah nak ambil semula,” katanya.
 

SAMPAI KEMANA MASALAH KEMELUT TRENGGANU ?


Beri peluang BN habis penggal di Terengganu
Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA NERUS - Pas berpendirian Barisan Nasional (BN) perlu diberi peluang mentadbir Terengganu sehingga habis penggal bagi menyesaikan kesemua kemelut yang melanda parti itu ketika ini, termasuk krisis terbaharu melibatkan menteri besar, Ahmad Razif Abd Rahman.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu juga tidak berhasrat untuk mencampuri isu dalaman yang melibatkan parti lain, sebaliknya meminta rakyat menilai sendiri.

“Kita anggap ini tempoh BN (memerintah Terengganu) dan bukan tempoh kita...kita serah kepada mereka untuk selesaikan..beri peluang sehingga habis penggal.

“Rakyat perlu menilai sendiri perbezaan di antara sepenggal kita memerintah (ketika Pas perintah Terengganu sebelum ini)...dengan berapa penggal BN memerintah (pelbagai kemelut yang dihadapi),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui ketika hadir pada Majlis Makan Malam Amal Media di NR Cafe, Tok Jembal, di sini, malam tadi.‎

Hadir sama dalam majlis anjuran bersama Unit Media, Lajnah Penerangan dan Hubungan Medai Pas Terengganu dan Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami) Terengganu itu adalah Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat serta kepimpinan yang lain.

Jelas Abdul Hadi lagi, selaku parti yang mendokong demokrasi, Pas tetap dengan pendirian untuk tidak mencampuri urusan parti lain, sebaliknya memilih saluran yang betul iaitu melalui pilihanraya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Abdul Hadi turut mengakui Pas dilihat mempunyai peluang positif untuk memenangi sekurang-kurangnya dua kerusi daripada 11 calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.

“Berdasarkan sambutan baik yang diterima rakyat Sarawak ketika ini, kita yakin mampu memiliki dua atau lebih kerusi dalam PRN kali ini, malah kehadiran kita (Pas) juga turut diterima baik masyarakat di negeri berkenaan,” katanya.

Katanya lagi, keretakan hubungan antara PKR dan DAP yang meletakkan calon di kawasan yang sama juga dilihat memberi kelebihan kepada Pas dalam pilihanraya kali ini.

“Kemungkinan ada positif kepada kita (kemelut pertindihan kerusi antra DAP dan PKR)..dan kita juga sudah umum lebih awal mengenai calon kita iaitu 11 daripada 80 kerusi yang dipertandinga..jadi peluang untuk kita (Pas menang) ada,” katanya.

DUA BEKAS MENTERI AKAN DIPECAT ?


Usul pecat Muhyiddin, Mukhriz selepas PRN Sarawak
Mohamed Nazri Abdul Aziz
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB

KUCHING - Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz akan mengemukakan usul pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada Umno pada mesyuarat MT parti itu, yang dijadualkan selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11.

Beliau berkata, tindakan Muhyiddin yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dan Mukriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah untuk bersekongkol dengan parti pembangkang sedangkan mereka masih ahali Umno, adalah melanggar prinsip Umno.

"Kebebasan bersuara yang diberikan Umno kepada mereka selama ini telah disalahgunakan dan ia sudah cukup untuk membuktikan kesalahan mereka berdua," katanya pada persidangan berita di sini, hari ini.

Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata,  Umno mengamalkan demokrasi dan membenarkan anggotanya mengkritik namun, kritikan Muhyiddin dan Mukhriz telah melampaui batasan.

"Selepas pilihan raya negeri ini, kita akan adakan mesyuarat dan saya sendiri akan mengusulkan supaya kedua-dua mereka dipecat. Kita perlu ambil tindakan," katanya.

Nazri diminta mengulas tindakan Muhyiddin, Mukhriz dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghadiri siri ceramah bertajuk 'Bicara Isu Semasa Selamatkan Malaysia' di Jitra, Kedah semalam.

Ditanya mengenai tindakan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menghalang kemasukan individu tertentu ke Sarawak, beliau berkata tindakan itu wajar demi menjaga keharmonian di negeri ini.

"Keharmonian di Sarawak pada masa ini perlu diteruskan untuk menjamin kemajuan ekonomi yang berterusan.

"Jika kita lihat suasana kempen pilihan raya negeri kali ini, ia dijalankan dengan begitu tenang dan bertamadun sekali tanpa kejadian tidak diingini berlaku, jadi mereka ini perlu dihalang daripada menghasut rakyat Sarawak," katanya.  - Bernama

MB TRENGGANU ENGGAN ULAS


Ahmad Razif enggan ulas dakwaan jumpa Sultan
 Ahmad Razif Abd Rahman
Ahmad Razif menurunkan tandatangan sebagai simbolik perasmian Terengganu Halal Business Centre di Sabasun Hyperuncit Gong Badak.

KUALA NERUS - “Saya masih lagi memegang jawatan MB (Menteri Besar) dan saya akan teruskan tugas seperti biasa,” demikian tegas Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman.

Ahmad Razif menyatakan perkara berkenaan ketika diminta mengulas mengenai perasaan beliau setelah genap seminggu menjalankan tugas selepas Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin lucut semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada beliau.

Ahmad Razif yang juga Adun Seberang Takir itu juga turut memaklumkan bahawa fokus beliau kini adalah untuk memastikan agenda pembangunan rakyat diteruskan.

“Saya akan teruskan (pembangunan untuk rakyat)... selagi saya masih memegang jawatan MB dan saya tidak ada apa-apa lagi untuk dijelaskan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pecah tanah Terengganu Halal Business Centre dan Perasmian Karnival Usahawan Anak Terengganu (KUAT) di Perkarangan Sabasun Hyperuncit, Gong Badak, petang tadi.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai kesahihan sama ada beliau ada mengadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum memulakan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Rabu lalu, beliau enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak ada apa-apa ulasan...saya minta maaf...terima kasih semua,” katanya ringkas sebelum meninggalkan majlis berkenaan.

Program yang dihadiri petang ini merupakan majlis rasmi yang pertama dihadiri Ahmad Razif selepas genap seminggu berdepan dengan kemelut sehingga kesemua gelaran beliau ditarik balik.

Ahmad Razif yang kelihatan tenang sepanjang menghadiri majlis berkenaan dan ketika berucap dihadapan kira-kira 100 tetamu beliau memaklumkan kerajaan negeri akan merangka lebih banyak aktiviti untuk rakyat di negeri ini.

PERAMPOK/LANUN MEMANG KERJA LAGU TU

Nelayan Malaysia dipaksa turun tandatangan
 Nelayan Malaysia dipaksa turun tandatangan
Jamal bergambar bersama ahli keluarga dua nelayan yang ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang hari ini.

SUBANG - Dua nelayan negara ini yang ditahan pihak berkuasa Indonesia mendakwa mereka dipaksa untuk menurunkan tandatangan surat perakuan di lokasi terakhir bot tersebut ditunda Jabatan Perikanan Indonesia.

Pengerusi NGO Malaysia, Datuk Jamal Yunos berkata, kedua-dua nelayan berkenaan mendakwa mereka berada di dalam lokasi perairan negara sebelum ditunda memasuki kawasan Indonesia selama kira-kira dua jam.

"Mereka mengaku ditahan dalam perairan kita dan dikejar bot daripada Jabatan Perikanan Indonesia.
"Setelah ditangkap mereka ini ditunda sehingga masuk ke perairan Indonesia dan ketika bot diberhentikan, mereka telah dipaksa untuk menandatangani surat perakuan tersebut.

"Surat perakuan itu adalah bagi menyatakan di kawasan perairan mereka berhenti itu sebagai lokasi mereka ditahan sedangkan mereka pada mulanya berada di perairan kita," katanya ketika sidang media yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang hari ini.

Jamal berkata, pada mulanya kedua nelayan terbabit enggan untuk menandatangani surat perakuan tersebut namun disebabkan takut dengan sebarang ancaman, mereka terpaksa akur dengan kehendak pihak terbabit.

Dalam pada itu, Jamal memaklumkan bahawa pihaknya juga akan memanjangkan perkara itu kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM )bagi menggelakkan kejadian sedemikian berulang selepas ini.

"Saya rasa perkara ini perlu ditangani bagi menggelakkan permasalahan sama berterusan.

"Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek juga dilaporkan akan berunding dengan Menteri Kelautan Indonesia petang ini berhubung isu tersebut," katanya.

Menyentuh mengenai pertemuan dua nelayan tersebut dengan ahli keluarga mereka, Jamal memaklumkan bahawa pertemuan itu berlangsung dalam keadaab suasana yang sedih dan pilu.

Kata Jamal, dua nelayan berkenaan turut memohon agar kerajaan dapat menghulurkan bantuan bagi membantu nasib mereka yang dianggap teraniaya.

Mac lalu, tiga bot nelayan dan anak kapal Malaysia ditahan penguat kuasa Indonesia ketika menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia.
 

BANTULAH DIA

Hilang kerja, dihalau selepas peluk Islam
Harinder Pal Singh
Harinder Pal Singh

SHAH ALAM - Seorang lelaki berketurunan Sikh kelahiran India, Harinder Pal Singh mengakui hilang pekerjaan serta dihalau dari rumah sewa selepas memeluk Islam ketika sesi ceramah Dr Zakir Naik di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalik 14 April lalu.

Harinder berkata, dia kehilangan pekerjaan sebagai penjawat swasta kerana kontraknya tidak diperbaharui dan turut dihalau keluar rakan serumah kerana bimbang akan mempengaruhi rakan-rakan lain dengan ajaran Islam.

"Saya perlukan pekerjaan," katanya ketika ditemubual dalam program Into Taqwa terbitan TV Al Hijrah.

Katanya lagi, dia amat memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan dan mendalami Islam yang kini sudah menjadi jalan hidup di dunia dan akhiratnya.

Sementara itu, memetik My News Hub penyanyi Noh Hujan yang kini berada di Timur Tengah bersama isterinya Mizz Nina bersedia membantu Harinder dengan menawarkan pekerjaan di restoran miliknya.

RAKYAT MALAYSIA MASIG BOLEH CUCUK HIDUNG DENGAN RM 500 ? KESIAN MELAYU

Mahathir ulangi gesaan Najib letak jawatan
 Mahathir Mohamad
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Bernama

JITRA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi gesaan supaya Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno kerana sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya.

Beliau berkata, ia perlu segera dibuat susulan kegagalan Najib menyelesaikan banyak isu berbangkit termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kehilangan wang berbilion ringgit.

“Kalau dia (Najib) tak digugurkan sekarang, saya yakin (BN) akan hancur dalam PRU14. Najib akan kalah, BN akan kalah dan Umno akan Kalah. Apa jadi lepas itu, sama-samalah kita lihat.

“Tapi kalau kita dapat gugurkan Najib sekarang, mungkin parti yang terbesar dalam Dewan dapat memilih pemimpin baru yang tidak mengulangi apa yang dilakukan Najib,” katanya pada program bicara isu-isu semasa Selamatkan Malaysia (Team B Umno) di Dewan Lye Huat Garden, Napoh, di sini, malam semalam.

Menurutnya, parti keramat yang banyak berjasa itu juga kelihatan sudah tidak lagi berjuang untuk agama, bangsa dan negara.

“Kenapa saya tinggalkan Umno? Kata pepatah Melayu kalau sayangkan anak, tangan-tangankan; sayangkan isteri, tinggal-tinggalkan. Tapi saya juga tinggalkan Umno kerana sayang.

“Saya melihat Umno hari ini bergerak hanya untuk mempertahankan presidennya walaupun membuat benda yang salah. Mereka membisu kerana mungkin sudah disuap dedak ke dalam mulut mereka,” katanya.

Menurutnya, Umno yang dahulu memperjuangkan agama, bangsa dan negara sudah tidak lagi mengamalkan demokratik sebaliknya hanya untuk menyokong presiden parti dan perdana menteri.

“Melihat keadaan ini bahawa Umno tidak lagi memperjuangkan bangsa kita, saya tidak dapat lagi kekal dalam Umno. Sebab itu saya keluar Umno. Kita dapati Umno seolah-olah bisu dan tak boleh bercakap, bahkah dengar pun tak boleh.

“Dia percaya dengan duit boleh buat apa saja dan rakyat akan sokong kalau dia bagi duit. Sebab itu kita lihat dia ada BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) RM500 setahun. Mungkin bagi sesetengah orang RM500 itu besar, tapi kebanyakan yang terima lebih RM500,” katanya.

ADA KEMUNGKINAN ANUAR IBRAHIM AKAN BEBAS, INGATLAH ISLAM ITU ADIL

Anwar berjaya teruskan rayuan qazaf
Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim - Foto AFP

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh meneruskan kesemua prosiding rayuan berkaitan pertuduhan qazaf terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukari Azlan.

Ini susulan Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan sebentar tadi menolak permohonan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua lagi membatalkan kesemua semakan dan notis rayuan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Md Yusuf Che Teh memutuskan, kekhilafan Anwar selaku responden dalam menamakan bekas Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain dan bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali sebagai responden dalam rayuannya boleh diperbetulkan.

Korum yang turut dianggotai Hakim Datuk Yusof Musa dan Hakim Mohd Amran Mat Zain juga memutuskan, keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 yang mensabitkan Anwar bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari tidak menjadikan Mahkhamah Syariah terikat kerana kedua-dua mahkamah berbeza.

Pertuduhan qazaf ialah membuat tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat saksi lelaki.

Jamil Khir, Shamsudin dan Che Mat mengemukakan permohonan bagi membatalkan kesemua notis rayuan yang difailkan Anwar atas alasan mereka tidak lagi memegang jawatan seperti yang dinamakan dalam rayuan.

Mereka juga mengemukakan alasan, bahawa Mahkamah persekutuan telah mensabitkan Anwar bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari.
free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.