Tiada permohonan usul tergempar
ALOR SETAR - Setakat ini, belum ada permohonan oleh mana-mana wakil
rakyat untuk mengemukakan usul tergempar dalam Dun berikutan kemelut
yang berlaku dalam Umno dan kepimpinan kerajaan negeri.
Timbalan Speaker Dun Kedah, Datuk Azmi Che Hussain berkata, sepanjang
pengetahuannya, tiada sebarang maklumat atau permohonan yang diterima
untuk berbuat demikian.
Tanpa mahu mengulas lanjut, beliau yang juga Adun Bayu berkata, tiada
maklumat lanjut dan tunggu hingga April ini untuk mengetahui
perkembangannya.
“Kita tunggu bulan empat lah, baru tahu apa kedudukannya,” katanya
ketika ditemui media selepas merasmikan Program Transformasi Sekolah -
Projek Mesin Air Beralkali dan Dobi Layan Diri di Sekolah Menengah Agama
(SMA) Darussa’adah di Kepala Batas di sini, semalam.
Ditanya siapa yang boleh mengemukakan permohonan kepada Dun untuk
membawa usul tergempar atau undi tidak percaya, beliau enggan mengulas
sebaliknya hanya berkata no komen.
Ketika diasak dengan soalan hampir sama oleh beberapa wartawan lain,
Azmi hanya berkata: “cukuplah, saya tiada apa lagi yang nak cakap.
"Wartawan semua kawan saya dan saya yakin wartawan ni semua orang yang baik-baik, cukuplah setakat ini.”