Datuk Jailani Johari
Datuk Jailani Johari
 
SHAH ALAM – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedia  bertindak jika ada laporan berkaitan laman sosial di internet yang didapati menyebarkan ajaran Syiah.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, SKMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana laman sosial atau web yang menyebarkan ajaran yang bercanggah dengan amalan Ahlul Sunnah Wal Jamaah umat Islam di negara ini.
"Oleh kerana sejak dulu kita di sini berpegang pada Ahlul Sunnah Wal Jamaah, ajaran yang selain daripada itu tidak sepatutnya disebarkan," katanya.

Jailani berkata, jika pengguna mendapati ada elemen bahaya dalam web atau laman sosial itu, lebih baik laporkan terus kepada polis.

"Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) pula lebih arif untuk mengenal pasti kandungan laman web atau laman sosial yang disebarkan itu," katanya.

Menurut Jailani, SKMM akan campur tangan jika ada unsur sensitif yang tidak sesuai disebarkan di negara ini.

"Kalau ada benda (maklumat) macam itu, kita akan buang atau ambil tindakan sesuai ikut undang-undang," katanya.

Sinar Harian difahamkan, SKMM masih belum menerima laporan mengenai 200 laman Facebook yang menyebarkan ajaran Syiah seperti yang didakwa.

Pada 5 Julai lalu, satu laporan polis dibuat  di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor di Shah Alam oleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berhubung penyebaran fahaman Syiah di Facebook.

Ketua Unit Kajian Syiah Isma, Mohamad Ismail mendakwa terdapat lebih 200 akaun mengenai Syiah di Malaysia dikenal pasti kian giat menjalankan aktiviti menyebarkan maklumat berkaitan fahaman itu kepada masyarakat umum.

 “Antaranya Al-Hadhari, Al-Jafari, Al-Mahdi. Terdapat juga satu blog bernama kamilzuhairi.blogspot.com,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Security Malaysia, Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan berhubung fahaman seumpama itu, namun bersedia untuk menyalurkan maklumat dikehendaki polis atau Jakim. 

“Setakat ini tindakan hanya boleh diambil polis, kita cuma salurkan maklumat mengenai pemilik akaun, kesan kegiatan akaun dan berurusan dengan Facebook untuk minta akaun diminta itu dipadam.

“Pihak kami hanya bantu dari segi teknikal, sebarang tindakan dilakukan pihak berkuasa,” katanya.