Sultan Selangor murka terhadap Sivarasa
Nor Azihan Md Ghazali
2 Jun 2017
Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABD RAHIM
SHAH ALAM - "You have crossed the line!" (Kamu sudah melampaui batas!).
Demikian kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
terhadap tindakan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa yang berucap dalam
Masjid An-Nur di Kampung Melayu Subang, pada 24 Mei lalu.
Sultan Sharafuddin Idris Shah menyatakan kemurkaan terhadap insiden itu
berikutan tindakan Sivarasa yang masih berucap di dalam masjid meskipun
baginda sudah berkali-kali mengingatkan agar masjid tidak dijadikan
tempat berpolitik sama ada bagi yang beragama Islam mahu pun bukan
Islam.
"Beta tidak membenarkan ahli politik berceramah atau berucap di dalam
masjid kerana beta tidak mahu ia menjadi punca kepada perpecahan umat
Islam.
"Namun teguran beta nampaknya tidak diendahkan dan beta ingin
menegaskan...Ahli Parlimen Subang, Sivarasa, 'You have crossed the
line!'," titah baginda.
Demikian titah Sultan Selangor terhadap wakil rakyat PKR itu pada
majlis berbuka puasa bersama rakyat dan majlis perasmian masjid An Nur
Temasya Glenmarie di sini, sekejap tadi.
Baginda bertitah lagi, jikalau Ahli Parlimen Subang itu hendak berucap
lapan jam atau sepuluh jam di luar dari kawasan masjid, beta tidak
menghalangnya.
"Itu semua terserah kepada rakyat sama ada mahu mendengar ataupun
tidak, tetapi jangan sama sekali berucap di dalam masjid dan di dalam
kawasan masjid," titahnya.
Pada masa sama, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menitahkan nazir
masjid, imam dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid sepatutnya lebih peka
dan mengambil berat terhadap titah baginda serta tidak membenarkan sama
sekali masjid dijadikan sebagai tempat untuk berpolitik.
Baginda turut mengingatkan masjid dan surau perlu digunakan sebagai
tempat beribadat serta tempat untuk menuntut ilmu agama, selain tempat
untuk mengeratkan silaturahim sesama umat Islam supaya tidak
berpecah-belah dan berpuak-puak.
"Beta memberi kuasa kepada nazir, imam dan AJK masjid untuk menjaga
rumah Allah dan kemuliaan masjid. Maka gunakanlah kuasa ini dengan
sebaik-baiknya.
"Jika ada antara nazir, imam atau ahli jawatankuasa masjid yang hendak
aktif berpolitik di masjid, beta titahkan supaya berhenti daripada
menjadi nazir, imam atau ahli jawatankuasa masjid dan serahkan
tanggungjawab itu kepada orang lain," titah baginda.
Baginda turut memberi amaran untuk tidak teragak-agak menitahkan Jais
supaya menamatkan perkhidmatan nazir, imam dan AJK masjid yang melanggar
serta tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
"Dalam kes masjid An-Nur Kampung Melayu Subang ini, beta mahu supaya
Jais menyiasat dengan terperinci dan sekiranya ada bukti yang ahli
jawatankuasa masjid melanggar peraturan yang sedia ada, tindakan
selanjutnya hendaklah diambil terhadap mereka selepas Ramadan," titah
baginda.
Selasa lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa murka dengan
tindakan Sivarasa yang memasuki dan memberi ceramah di ruang solat
Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang. Perkara itu dimaklumkan oleh
Setiausaha Sulit kepada Tuanku, Datuk Munir Bani kepada Pengarah Jais.