Muhyiddin
Muhyiddin pada sidang media di Dataran Pekan Layang-Layang, semalam
 
KLUANG - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menempelak Pas yang sanggup mengetepikan ideologi dan perjuangan mereka semata-mata untuk bekerjasama dengan DAP.

Beliau berkata, kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendakwa kononnya kedua-dua parti itu mencapai persetujuan pada tahap 95 peratus atas dasar kebebasan dan keadilan tanpa menceritakan perbezaan bakinya iaitu membabitkan konsep negara Islam dan hukum hudud.

“Saya agak hairan dengan kenyataan itu. Di mana lagi lima peratus yang dia tidak ceritakan iaitu membabitkan soal negara Islam dan  hukum hudud.

“Hairan pemimpin Pas sanggup merendahkan soal Islam dan membuang perjuangan mereka kerana takut hilang undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13),” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Himpunan Rakyat 1Malaysia Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dataran Pekan Layang-Layang di sini, semalam.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN itu juga menyifatkan Pas sudah hilang  kekuatan dan keupayaan sehingga terpaksa bergantung harap kepada DAP.

“Sekarang ini, mereka tertekan hingga sanggup bertentangan dengan perjuangan mereka selama ini. Ini bukan perkara kecil, ini adalah soal pokok dan mana perginya perjuangan mereka untuk menegakkan syiar Islam.

“Mereka boleh cakap ini soal remeh, kecil tetapi untuk orang Islam isu ini adalah perkara besar dan tidak boleh kompromi namun, Pas sudah mula kompromi dengan DAP. Saya percaya rakyat akan tolak mereka dengan jelas,” katanya.

Semalam, Pas dan DAP dalam satu kenyataan mengakui wujud perbezaan konsep dalam dasar kerjasama kedua-dua parti, namun tidak menghalang mereka daripada terus bekerjasama yang hanya membabitkan lima peratus perbezaan.

Kenyataan itu ditandatangani Abdul Hadi dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng itu menyebut kedua-dua parti mencapai persetujuan pada tahap 95 peratus bagi menegakkan kebebasan, keadilan, kebenaran, integriti dan demokrasi untuk semua.

Muhyiddin turut bersetuju dengan kenyataan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, yang mendakwa perbuatan mengumpulkan orang bagi mendengar ceramah sudah lama menjadi strategi perang psikologi pembangkang bagi memberi gambaran kononnya ramai menyokong mereka.

“Pembangkang mahu tunjukkan kononnya mereka mempunyai ramai sokongan bila mengadakan sesuatu program atau ceramah namun apa yang kita lihat hampir kesemua yang hadir itu bukan penduduk tempatan.

“Berbanding BN yang sentiasa mendapat sokongan dan kita tidak gunakan strategi sedemikian kerana BN mempunyai kekuatan yang tersendiri,” katanya.