SPR: Mustahil bawa pengundi luar ke Selangor
KUALA
LUMPUR, 30 April — Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri
Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini berkata dakwaan kononnya pengundi luar
boleh dibawa masuk untuk mengundi di Selangor pada pilihan raya umum
ke-13 (PRU13) Ahad ini adalah mustahil.
“Mana boleh? mustahil. Saya tidak percaya bahawa seseorang boleh
tempah tiket dan terbangkan orang Sabah atau Sarawak, atau dari
Semenanjung ke Sabah dan Sarawak (begitu saja),” katanya kepada
pemberita selepas meninjau pusat mengundi di Pusat Latihan Polis
(Pulapol) di sini.
Semalam, Pengerusi Pakatan Rakyat Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim
mendakwa Umno membawa masuk pengundi luar, khususnya dari Sabah
menggunakan pengangkutan udara.
Abdul Aziz berkata pengundi yang berpindah dari satu tempat ke tempat
yang lain perlu melalui beberapa proses dan memaklumkan kepada SPR
sekiranya mereka menukar alamat dan mahu mengundi di kawasan berkenaan.
Katanya proses pilihan raya juga memperuntukkan tempoh bantahan
selama dua minggu selepas senarai pengundi yang dipindahkan dipapar
kepada umum, sebelum perubahan itu diwartakan.
“Kamu tak boleh mudah-mudah bawa orang dengan kereta, atau bas, atau
kapal terbang begitu sahaja, kecuali mereka pergi melancong,” katanya. —
Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment