'Air dah melimpah, tak selamat nak ke sekolah'
TUMPAT - "Anak-anak bersemangat nak ke sekolah hari ini, tetapi hajat
itu terpaksa dibatalkan apabila air sudah naik satu meter di halaman
rumah," kata Radziyah Abd Razak, 42, ibu kepada murid Sekolah Kebangsaan
(SK) Pulau Beluru.
Anak Radziyah seramai tiga orang tidak dapat hadir ke sekolah apabila
sesi persekolahan di SK Pulau Beluru ditangguhkan atas faktor
keselamatan kerana air Sungai Kelantan berarus deras dan melebihi paras
berjaga-jaga.
Tiga anaknya, Mohd Nabiq Daniel Mohd Napi, 11, Mohd Napi, 10 dan Umi
Qistina, 10 tinggal di Kampung Pantai Haji Nik Mat, antara beberapa buah
pulau di daerah ini mula dinaiki air berikutan hujan lebat sejak
semalam.
Radziyah berkata, perjalanan untuk ke SK Pulau Beluru tidak selamat
kerana bagi pelajar yang tinggal di beberapa buah pulau di sini perlu
menaiki bot menyusuri Sungai Kelantan.
"Air dah melimpah masuk ke kediaman penduduk, jeti Pulau Beluru tempat bot turunkan murid-murid pun dah dinaiki air.
" Memang tidak selamat untuk anak-anak ke sekolah hari ini kerana air Sungai Kelantan deras sangat," katanya.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat, Che Omar
Mohammad berkata, satu sekolah di daerah ini iaitu SK Pulau Beluru
ditangguhkan sesi persekolahan hari ini berikutan arus Sungai Kelantan
deras dan tidak selamat untuk murid dan guru ke sekolah.
"Seramai 259 murid , 48 murid Pra Sekolah dan 30 guru serta 8 anggota khidmat sokongan terlibat," katanya.